Keputusan Zulkafperi belakangkan parti - Nurul - Utusan Malaysia

Keputusan Zulkafperi belakangkan parti – Nurul

Zukafperi
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi didakwa membuat keputusan secara bersendirian tanpa membincangkannya bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) atau Parti Bersatu dalam mana-mana mesyuarat.

Beliau juga dikatakan tidak memaklumkan perkara tersebut dalam mesyuarat di peringkat Bahagian Tanjong Karang sehingga menyebabkan akar umbi yang menyokong beliau kesal dengan tindakannya.

Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau kecewa dan menyelar keputusan dibuat Dr. Zulkafperi yang didakwa tidak memahami perit, jerih dan letih jentera parti memenangkannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Kecewa rasa apabila saya di belakangkan bila beliau membuat keputusan sedemikian. Sebab semua masalah ada penyelesaian. Walaupun kami Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang namun siang malam kami turun padang dan bekerja untuk rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Sungai Burong.

“Saya terkejut dan sangat sangat kecewa dengan keputusan beliau buat tanpa sebarang mesyuarat atau perbincangan bersama. Perit, jerih dan letih kami menjadikan Tanjong Karang kubu PN pada PRU lalu belum lagi hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Dr. Zulkafperi yang menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang ketujuh selepas Tan Sri Noh Omar mengambil keputusan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta-merta.

Keputusan tersebut dibuat beliau dengan rela hati atas alasan untuk menjamin kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

Malah dalam kenyataannya, beliau turut menyeru penduduk dan pengundi di Tanjong Karang untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani dan mendoakan agar kawasan parlimen itu mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan.

Dalam pada itu, Nurul yang juga ADUN Permatang menegaskan beliau dan kepimpinan parti di Tanjong Karang tidak akan menoleh ke belakang bagi meneruskan perjuangannya bersama Bersatu dan PN.

“Peluh pun belum lagi kering. Walaupun ketika Itu beliau (Dr. Zulkafperi) sibuk di command center negeri, saya sebagai orang baharu bersama ADUN Sungai Burong, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin tetap mara tanpa toleh ke belakang. 

“Berbekalkan semangat rakyat, perjuangan agama dan bangsa kami disokong oleh jentera yang hebat di kawasan. Hubungan ADUN dan ahli parlimen di Tanjong Karang adalah sangat Baik.

“Tetapi ini adalah penyuntik semangat untuk saya memastikan Bersatu terus kukuh di Tanjong Karang dan kekal menjadi kubu kuat PN. Kami keluarga Tanjong Karang akan berdiri kukuh bersama PN dan akan pastikan Tanjong Karang bertambah kuat dengan kepimpinan anak jatinya. Let’s restart our Tanjong Karang together,” jelasnya.

Untuk makluman, Dr. Zulkafperi memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada PRU15 dengan jumlah majoriti sebanyak 2,180 undi menewaskan Datuk Habibah Mohd. Yusof dari Barisan Nasional (BN) serta tiga calon lain.

Kemenangan beliau menggantikan Noh yang tidak lagi tercalon untuk mempertahankan kerusi tersebut pada November 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya