Kenaikan cukai DST bakal bebankan pengguna - Ka Siong

Kenaikan cukai DST bakal bebankan pengguna – Ka Siong

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan cukai perkhidmatan digital (DST) kepada lapan peratus daripada enam peratus bermula pada 1 Mac ini dikhuatiri menyebabkan banyak pengguna terbeban dengan kenaikan dua peratus tersebut.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beberapa aplikasi dan peniaga dijangka menaikan harga servis mereka kerana ingin mengambil kesempatan.

“Sudah pasti harga ditawarkan di Apple Store, Google Services, Netflix, Disney+, Amazon Prime akan naik. Ini mengakibatkan langganan aplikasi, apa yang ditawarkan para peniaga di platform Lazada, Shopee, TikTok dan Grab melambung.

“Jika kita mengimbas kembali, pada Januari 2020, apabila DST mula diperkenal sebanyak enam peratus, kenaikan harga perkhidmatan digital tidak berhenti sekadar enam peratus sahaja.

“Ini kerana ada peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jauh lebih tinggi daripada enam peratus pada Januari 2020.

“Maka, saya menjangkakan kenaikan harga untuk perkhidmatan digital pada kali ini naik bukan sekadar dua peratus, malah ia akan dinaikkan jauh lebih tinggi dari dua peratus kerana golongan peniaga akan menggunakan alasan kenaikan ini untuk melonjakkan harga,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan tentang kenaikan kadar DST daripada enam peratus kepada lapan peratus mulai 1 Mac ini.

Langkah itu susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Oktober lalu.

Cukai digital yang berkuat kuasa 1 Januari 2020 menyaksikan levi enam peratus dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian import, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, beliau bimbang dengan kemampuan rakyat untuk menampung kenaikan tersebut di samping beberapa perkara yang lain juga sudah meningkat.

“Tarif air naik 22 peratus selepas kenaikan bil elektrik baru-baru ini. Cukai-cukai baharu seperti cukai barang nilai rendah (LVGT) dan cukai barang nilai tinggi (HVGT) akan dikuatkuasakan pada tahun ini, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam peratus kepada lapan peratus serta perluasan skop SST sudah pasti berlaku secara serentak.

“Rakyat juga risau tentang penarikan subsidi oleh kerajaan. Mampukah rakyat Malaysia sebagai pengguna bernafas dalam situasi yang penuh cabaran? Inilah kebimbangan saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN