Jika Hatyai murah, Perlis RM500 sudah cukup - Utusan Malaysia

Jika Hatyai murah, Perlis RM500 sudah cukup

WAN Badariah Wan Saad (empat dari kanan) merakamkan gambar bersama sewaktu Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jika bercuti di Hatyai Thailand menjimatkan, perbelanjaan bercuti di Perlis adalah lebih rendah dengan RM500 sudah cukup untuk beristirehat di sini sambil menikmati keindahan tersedia di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, Perlis menawarkan percutian yang ekonomi buat pengunjung memandangkan kos penginapan, makanan dan bayaran masuk ke lokasi pelancongan di sini masih murah.

Katanya, jika pengunjung menyediakan wang sebanyak RM1,000 ia juga sudah cukup mewah.

“Sebagai contoh, penginapan inap desa di Perlis kebanyakannya berharga bawah RM200 malah harga makanan dan caj bayaran masuk ke lokasi tumpuan pelancong juga amat murah berbanding tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui selepas Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, di sini, semalam.

Menerusi program tersebut, terdapat lapan lokasi telah dipilih bagi mempromosikan TMPs iaitu View Point Wang Kelian, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Gua Kelam 1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Kompleks ICQS Wang Kelian, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar, Jeti Kuala Perlis dan Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh.

Untuk penganjuran TMPs, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis pada tahun ini.

Lokasi-lokasi pelancongan di Perlis juga telah dikategorikan kepada lima kluster iaitu Jejak
Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan Agro, Jejak Pelancongan Membeli-belah dan Makanan, Jejak Pelancongan Sejarah, Warisan, Seni dan Budaya serta Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi.

Sebelum itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hatyai, Thailand pada cuti persekolahan baru-baru ini mendapati rata-rata pelancong Malaysia memilih berkunjung ke negara Gajah Putih itu disebabkan oleh faktor makanan unik dan kos perbelanjaan yang murah.

Kebanyakan mereka menyatakan mampu menikmati percutian selesa dengan kos bawah RM1,000 dan keadaan ini berbeza sekiranya melancong ke tempat-tempat lain.

Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, Perlis mempunyai tarikan yang tinggi dalam menarik kehadiran pelancong memandangkan terdapat keunikan tersendiri ditampilkan di negeri ini khususnya keindahan alam semula jadi.

“Menerusi tinjauan saya juga mendapati kebanyakan pengunjung dan orang ramai memberikan maklum balas yang baik sewaktu mereka bercuti ke negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri juga telah mengadakan perbincangan sebelum ini bagi melihat penggunaan perkhidmatan MyBus untuk membawa pelancong namun sebarang keputusan mengenai pelaksanaan itu masih belum diputuskan buat masa ini.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu akan diteruskan dan pelaksanaan berkenaan berkemungkinan akan dijalankan pada setiap hujung minggu terlebih dahulu.

“Perbincangan menyeluruh perlu dijalankan berikutan perkhidmatan MyBus ini telah mempunyai laluannya sendiri dan perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya