ARAU: Pas memberi peringatan awal agar kerajaan tidak ‘mengganggu’ Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di sebalik keputusan jemaah menteri yang memutuskan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ketika ini, pihaknya masih tidak mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan sistem pendidikan prasekolah yang bakal diselaraskan itu.
Katanya, Pas juga tidak mengetahui sama ada sistem berkenaan akan memberi kebaikan atau akan merosakkan lagi sistem sedia ada.
“Dalam konteks Pasti pula, jangan kacau, Pas sudah buat elok dah sejak tahun 1980-an lagi dan sudah berkembang pesat sehingga hari ini tanpa ada apa-apa masalah.
“Kita akan lihat dahulu, jika ada sebarang usaha ‘mengacau’ Pasti, kita akan tentang. Kita juga hendak lihat dahulu hala tuju sistem berkenaan,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, jemaah menteri memutuskan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati wujud kualiti pendidikan prasekolah yang pelbagai di seluruh negara, justeru ia harus diselaraskan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan memaklumkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan itu dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Pasti mula beroperasi sejak tahun 1980 dan terus berkembang pesat dengan pada masa ini sebanyak 139,000 murid belajar di pusat asuhan berkenaan membabitkan 2,680 premis seluruh negara serta 9,002 guru.
Pasti juga sering menjadi pilihan bukan hanya ahli Pas semata-mata namun semua pihak termasuk ibu bapa daripada penyokong pelbagai parti politik serta bukan Islam yang memilih menghantar anak-anak mereka untuk belajar di pusat berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin dilaporkan berkata, ibu bapa terus memberi kepercayaan kepada Pasti dengan waris yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan termasuk dalam kalangan bukan Islam.
Malah kata Afnan Hamimi, silibus yang ditawarkan juga tidak lari jauh dengan pendidikan arus perdana selain ditambah daripada nilai dan sudut akhlak.
“Yang menggubal silibus pula terdiri dalam kalangan tokoh dan ahli-ahli akademik. Kita tidak pernah menanam ekstremisme parti di dalam silibus Pasti. Ia berkaitan akidah, ibadah dan akhlak,” kata Afnan Hamimi seperti dilaporkan Utusan Malaysia 26 November lalu.
Sementara itu, tambah Hashim, kerajaan sememangnya mempunyai kuasa dalam menentukan sesuatu namun perlu diingat rakyat lebih berkuasa. – UTUSAN










