Implikasi cukai baharu terhadap kos sara hidup

Implikasi cukai baharu terhadap kos sara hidup

Cukai 10 peratus bagi barang LVG dibeli dalam talian hanya dikenakan ke atas barang import.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cukai baharu yang akan diperkenal oleh kerajaan dijangka memberikan impak signifikan terhadap kos sara hidup khususnya bagi harga barangan dan perbelanjaan harian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, cukai baharu yang bakal diperkenalkan berkemungkinan meningkatkan kadar inflasi dalam jangka pendek sekali gus membawa faedah jangka panjang dengan menyumbang kepada pendapatan negara.

“Antara cukai yang akan diperkenalkan adalah Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) khusus untuk barangan yang diimport dengan nilai rendah di bawah RM400. 

“Meskipun ia melibatkan barangan luar negara, kesan cukai ini dijangka turut memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan,” katanya.

Menurut Aimi, cukai LVG tidak hanya memberi kesan kepada barangan tersebut malah ia turut melibatkan nilai dalam rantaian bekalan. 

Katanya, walaupun akan berlakunya kenaikan harga untuk beberapa jenis barangan namun ini merupakan satu langkah positif bagi mengurangkan pembelian barangan import dan memberi dorongan kepada pengusaha kilang tempatan.

“Secara tidak langsung, ia dapat membantu perniagaan sederhana atau kecil untuk mengembangkan produk-produk yang biasanya diperlukan oleh rakyat Malaysia dengan lebih mudah,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, peniaga makanan di Bagan Serai, Perak mendakwa perniagaan mereka terkesan disebabkan harga barang mentah yang semakin meningkat selain kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan disebabkan faktor ekonomi.

Sementara itu, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, keadaan ketidakpastian global yang berterusan dengan konflik perang di Timur Tengah menimbulkan kebimbangan akan berlakunya satu lagi pusingan krisis ekonomi. 

Katanya, dalam situasi ini, rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengatur strategi kewangan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang mungkin meningkat pada tahun ini.

“Cukai yang dicadangkan mungkin tidak memberi kesan besar kepada golongan pertengahan seperti M40 dan B40. Ia lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi dan barangan mewah. 

“Namun, kemungkinan peningkatan dalam kos rantaian bekalan boleh memberi tekanan kepada harga barangan peruncitan lain dan meningkatkan bebanan perbelanjaan seterusnya menaikkan kos sara hidup,” katanya. –  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya