Guru pikul beban besar hadapi cabaran pendidikan 2024

Guru pikul beban besar hadapi cabaran pendidikan 2024

guru
Cabaran pendidikan tahun 2024 dilihat masih berkisar tentang isu bebanan guru yang tidak jelas sedangkan golongan itu adalah tunjang utama dalam membentuk sistem pendidikan yang baik dan membangun karakter pelajar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran pendidikan tahun hadapan dilihat masih berkisar tentang isu bebanan guru yang tidak jelas sedangkan golongan itu adalah tunjang utama dalam membentuk sistem pendidikan yang baik dan membangun karakter pelajar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, guru dan ibu bapa jiuga dilihat masih terasa asing berhubung tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM) dan tidak nampak secara jelas keberhasilannya.

“Contohnya, soal kesejahteraan guru masih menjadi persoalan dalam kalangan guru yang mana isu beban tugas guru yang berlebihan masih berterusan, soal sistem komunikasi dan hubungan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dengan guru-guru tidak banyak berubah.

“Selain itu, isu keciciran pembelajaran murid yang juga belum selesai sepenuhnya. Malahan isu sekolah daif dan isu kemiskinan multidimensi yang banyak mempengaruhi prestasi dan pencapaian pendidikan anak-anak juga belum ada noktah,” katanya.

guru
ANUAR AHMAD

Baru-baru ini, KPM menjanjikan reformasi pendidikan yang lebih teratur menjelang tahun hadapan dengan polisi-polisi lebih baik.

Selain itu, KPM juga mahu memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 iaitu pentaksiran holistik kepada pelajar khususnya pembangunan secara keseluruhan bagi memastikan karakter mereka diperkukuh.

Sementara itu, pakar pendidikan dari Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, antara cabaran pendidikan tahun hadapan adalah pengambilan guru yang banyak namun tidak dilengkapkan dengan latihan guru yang betul.

“Kalau guru tidak menguasai pendidikan, kesannya adalah kepada anak murid. Hal ini kerana, guru yang membuat acuan atau membentuk setiap anak muridnya,” katanya.

Selain itu, katanya, penguasaan bahasa Inggeris juga penting selepas mengambil kira prestasi penguasaan bahasa selain daripada bahasa Melayu kurang memberangsangkan.

“Janganlah disebabkan pelajar kita tidak menguasai bahasa Inggeris, kita tukar semua bahan pelajaran menjadi bahasa Melayu.

“Apa yang kita boleh lakukan adalah pihak sekolah atau pihak kementerian boleh memperbanyakkan jadual mata pelajaran bahasa selama tiga atau lima jam dalam seminggu namun bahasa ibunda tidak dipinggirkan,” katanya.

Jelasnya, literasi bukan disampai secara mengajar tetapi secara semula jadi iaitu bahan mengajar, yang mana menurutnya bahan pembelajaran yang ada ketika ini tidak menarik punca penguasaan bahasa pelajar tidak lancar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN