Duda anak satu, janda anak lima antara dicekup berkhalwat

Duda anak satu, janda anak lima antara dicekup berkhalwat

PEGAWAI PADK sedang menjalankan soal siasat ke atas pasangan yang disyaki berkhalwat dalam operasi pencegahan jenayah syariah sempena sambutan tahun baharu di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki berstatus duda yang bekerja di sebuah kedai makan memberi alasan menghantar makanan kepada seorang wanita berstatus janda ketika mereka dicekup selepas disyaki berkhalwat di daerah ini.

Dalam operasi pencegahan jenayah syariah sempena sambutan tahun baharu itu, lelaki berusia 40 tahun berkenaan turut membawa anak lelaki tunggalnya yang berusia enam tahun ke bilik motel yang dihuni wanita berkenaan.

Bagaimanapun, helah lelaki bersama wanita berusia 32 tahun yang memiliki lima anak itu tidak menjadi kerana dapat dihidu Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) sebelum dicekup kerana bersekedudukan.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, soal siasat mendapati wanita yang tidak bekerja itu sudah seminggu tinggal di bilik motel berkenaan yang dibayar lelaki berkenaan.

“Pada mulanya selepas kami mengetuk pintu dan memberi salam, lelaki itu membuka pintu bilik berkenaan dan membenarkan pihak kami menjalankan pemeriksaan. Pasangan itu mendakwa berkenalan di kedai makan tempat lelaki itu bekerja.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka tidak memiliki sebarang dokumen yang mempunyai hubungan mahram atau suami isteri. Maka, lelaki berasal dari Bandar Baharu dan pasangannya dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan pada pukul 2.06 pagi di sebuah bilik hotel di Taman Melawis, di sini, PADK turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam dengan pasangannya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Anwar Sharifudin berkata, lelaki yang bekerja di Kuala Lumpur itu mendakwa berkenalan dengan pasangannya yang berasal dari daerah ini melalui media sosial, sejak lebih sebulan lalu.

“Mereka memberi alasan hanya datang berehat di hotel itu selepas menyaksikan pertunjukan bunga api di Pulau Pinang,” ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN