LONDON: Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Jensen Button mengingatkan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton tentang ancaman dua pelumba McLaren, Oscar Piastri dan Lando Norris yang mampu menggugat peluang Mercedes pada tahun ini.
Biarpun saingan F1 kini didominasi Red Bull menerusi kehebatan Max Verstappen, Button tetap merasakan pasukan-pasukan lain berupaya memberikan cabaran, khususnya buat Mercedes yang kini sedang berusaha untuk menaiki podium semula.
Terutamanya McLaren apabila pada pertengahan musim lalu, pasukan ini menunjukkan peningkatan dengan mereka podium berganda di Grand Prix Jepun dan Qatar.
Norris, 24 tahun menamatkan musim lalu di tempat keenam keseluruhan dengan meraih tujuh kali podium, manakala Piastri, 22 tahun berada di tempat kesembilan keseluruhan.
Atas dasar itu, Button merasakan itu adalah isyarat jelas daripada McLaren bahawa mereka akan menjadi pencabar utama untuk musim ini selain Ferrari, Aston Martin, Mercedes dan Red Bull.
“Saya mengenali Hamilton, kami merupakan rakan sepasukan untuk tiga tahun dan untuk Russell mampu mencipta hubungan akrab dengan Hamilton seperti yang pernah saya lakukan adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Tetapi pelumba muda di McLaren adalah sangat kuat, misalnya Piastri yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan musim lalu dijangka akan menjadi lebih konsisten pada tahun ini.
“Dia mempunyai aura dan kehebatan, namun kekuranganya adalah untuk mengekalkan semua itu dalam setiap perlumbaan, sama seperti Norris. Tetapi saya percaya kedua-dua pelumba ini akan menjadi tunjang buat McLaren yang akan memacu pasukan mereka ke hadapan pada musim ini,” kata Button. – AGENSI/UTUSAN