KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Presiden Kelab Berbasikal Darul Naim (DCC) atas dua pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan wang bantuan pembangunan sukan berbasikal berjumlah RM80,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 48.
Beliau berkata, sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan iaitu pindaan utama dan pindaan pilihan.
“Selepas mendengar keterangan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati pihak terbabit gagal membuktikan elemen utama iaitu jawatan tertuduh sebagai presiden yang sah bagi kelab berbasikal itu dan bukannya pengerusi kelab.
“Mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan 403 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan utama, lelaki itu didakwa sebagai presiden kelab DCC melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta iaitu wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 bagi kegunaan sendiri.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan pilihan, Mohammad Yusri didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 untuk kegunaan sendiri.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh dekat sini pada 26 Mac 2017.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.
Sebelum ini, Mohammad Yusri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Oktober 2020 atas dua pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan pembangunan sukan berbasikal berjumlah RM80,000. – UTUSAN