Bebola timah dalam badan anjing, polis kesan suspek seksa haiwan - Utusan Malaysia

Bebola timah dalam badan anjing, polis kesan suspek seksa haiwan

Anjing
KEADAAN anjing malang itu berserta gambar x-ray yang menunjukkan banyak bebola timah di dalam bahagian belakang badannya. - Gambar Instagram @myforeverdoggo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis sedang mengesan suspek yang disyaki menyiksa sehingga mati seekor anjing liar dengan menggunakan senapang angin selepas banyak bebola timah dikesan pada bahagian belakang badan haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pengesanan suspek sedang dibuat susulan seorang pengadu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 11.34 pagi semalam.

Menurutnya, aduan tersebut dibuat pengadu berhubung kehadiran anjing liar dekat hadapan sebuah kilang di Industri Hi-Tech Sungai Kapar Indah dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami kecederaan.

“Anjing tersebut dalam keadaan lemah dan terdapat pendarahan di belakang leher dan kedua-dua kaki hadapan. Pengadu membawa anjing itu ke sebuah klinik haiwan di Kota Damansara.

“Doktor veterinar mengesahkan terdapat banyak ball bearing timah di bahagian belakang leher dan juga terdapat kecederaan patah kaki,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau menambah, suspek masih belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh dan mencacatkan seekor haiwan.

Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran. Polis menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya