Banjir: Tujuh sekolah di Terengganu ditutup - Utusan Malaysia

Banjir: Tujuh sekolah di Terengganu ditutup

SEKUMPULAN pelajar meredah banjir di SMK Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh
sekolah di dua daerah di Terengganu terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana setelah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daripada jumlah itu, enam sekolah terletak di daerah Kuala Terengganu dan sebuah sekolah ialah di daerah Hulu Terengganu.

Menurutnya, sekolah terjejas di Kuala Terengganu ialah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Gelugor.

“Di Hulu Terengganu pula, sekolah yang ditutup ialah SK Lubuk Periuk.

“Kesemua tujuh sekolah ini tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana banjir yang melanda menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, beliau memaklumkan JPNT sudah mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat bersiap siaga untuk menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan semakin buruk.

Menurutnya, Ops Payung akan digerakkan sekiranya berlaku tiga situasi banjir hasil perbincangan yang diadakan dengan pelbagai jabatan dan agensi sebelum ini.

Pada tahun ini, seramai 18,492 calon SPM telah berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,420 calon adalah di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon berdaftar di daerah Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya