Bangunan pejabat jadi pusat judi dalam talian diserbu Imigresen

Bangunan pejabat jadi pusat judi dalam talian diserbu Imigresen

RUSLIN Jusoh ketika sidang akhbar berhubung sindiket judi dalam talian menggunakan premis perniagaan di Kuala Lumpur. - UTUSAN/MASZUREEN HADZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kegiatan sindiket judi dalam talian menggunakan premis perniagaan menjalankan operasi mereka terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyerbu bangunan pejabat di Jalan Kerinchi dekat sini malam tadi.

Menerusi operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.05 malam tadi, seramai 17 individu terdiri 14 lelaki warganegara China dan tiga rakyat tempatan berusia 23 sehingga 39 tahun diberkas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang bekerja di dalam premis tersebut yang berfungsi sebagai pusat perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari Brazil.

Kata beliau, sewaktu pihak berkuasa tiba, penghuni premis itu tidak memberikan kerjasama untuk membuka pintu sebelum ia dibuka secara paksa. 

“Ketika tangkapan, kesemua suspek berada di meja kerja masing-masing.

“Pemeriksaan, lanjut mereka yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah dipercayai yang masih dipegang oleh sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Kata beliau, Borang Saman kepada Saksi (Borang 29) juga dikeluarkan kepada tiga orang lelaki warganegara Malaysia yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di premis tersebut.

“Kita percaya, sindiket ini menyasarkan warganegara Brazil selepas operasi dijalankan mereka ini bermula 10 malam sehingga 10 pagi.

“Hasil serbuan itu, sebanyak 16 unit komputer riba selain skrin komputer (10 unit) ; telefon bimbit (45 unit) dan tablet (dua) yang mana satu daripadanya dipercayai dijadikan sebagai dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dirampas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ruslin menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan 1963, Akta Pasport 1966 serta mana-mana peraturan atau perundangan yang lain.

“Lebih-lebih lagi kepada warganegara Malaysia yang cuba bersekongkol atau bekerjasama dalam melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di dalam negara ini khususnya di ibu negara kerana kedaulatan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keberadaan PATI di sekitar ibu kota, kita mohon mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan perincian mengenai perkara ini kepada pihak jabatan dengan kadar segera,” tegasnya.

Beliau berkata, orang ramai boleh memberikan butir diri selengkapnya seperti nama dan nombor telefon untuk dihubungi sewaktu memberi maklumat kepada pihaknya.

“Identiti anda akan kami pelihara dan rahsiakan. Anda boleh menyalurkan informasi tersebut dengan menghantar emel [email protected] atau menghubungi 03-6205 7515,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN