Bahan bakar petrol punca kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas - Utusan Malaysia

Bahan bakar petrol punca kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Laporan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bahan bukti berupa botol yang dijumpai dalam kebakaran di garaj kediaman Datuk Ngeh Koo Ham minggu lalu, berisi bahan bakar iaitu petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat berkaitan punca kebakaran itu diterima Khamis lalu dan laporan rasmi berhubung penemuan itu akan diterima pihaknya dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan.

“Kita telah pun merakam keterangan 11 orang saksi dan siasatan masih lagi diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kes kebakaran itu disahkan berlaku akibat perbuatan khianat.

“Hasil ujian makmal ke atas sampel yang diambil oleh pihak bomba didapati positif. Laporan makmal tersebut telah pun dihantar kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, 10 Januari lalu, sebuah kereta Mercedes Benz E300 yang diletakkan di ruang garaj kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar dalam kejadian itu ialah siling dan bumbung garaj kediaman milik ahli Parlimen daripada DAP.

Siasatan awal yang dijalankan di lokasi kejadian mengesyaki kebakaran tersebut akibat perbuatan khianat ekoran menemuan bahan letupan dipercayai ‘molotov cocktail’.

Berikutan itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di Shah Alam selain polis turut merampas dua telefon bimbit daripada lelaki tersebut.

Suspek yang direman selama enam hari itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN