420,000 hektar kebun getah terbiar perlukan 80.000 pekerja asing

420,000 hektar kebun getah terbiar perlukan 80,000 pekerja

getah
JOHARI Abdul Ghani ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi dan amanat tahun baru di kementeriannya, semalam. – UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 420,000 hektar kebun getah di seluruh negara terbiar tidak ditoreh kerana ketiadaan pekerja asing dengan anggaran diperlukan adalah 80,000 orang.

Keluasan itu dianggarkan hampir lima kali ganda keluasan negeri Perlis.

Sehubungan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan mana-mana syarikat dan ejen pekerjaan yang sudah memperoleh kuota tetapi gagal menempatkan pekerja asing untuk bekerja perlu dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Katanya, tindakan tegas itu penting memandangkan sektor komoditi negara kini berdepan kesukaran mendapatkan pekerja asing.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu isu pekerja asing itu diselesaikan segera.

“Kita dapat banyak laporan mengatakan ramai pekerja asing datang ke negara kita tetapi tidak ada kerja. Baru-baru ini di Pengerang, Johor ada 2,500 pekerja asing ditipu ejen pekerjaan.

“Justeru, saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu patutnya dikompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

“Barulah mereka tak berani nak bawa pekerja. Isu ini penting buat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi mengisi kekosongan pekerja asing di sektor komoditi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPK di sini, semalam.

Katanya, jika isu ini tidak ditangani segera, ia boleh memberi imej tidak baik kepada negara sedangkan industri amat memerlukan pekerja asing untuk beroperasi.

Johari berkata, beliau mahu kerajaan masuk campur dalam isu itu bagi membolehkan pekerja asing yang ditipu itu dapat ditempatkan di ladang-ladang yang memerlukan pekerja.

“Kalau ejen dan syarikat bawa datang pekerja, tunggu siapa datang baru nak bekal, ini bermakna dia sudah buat benda ini satu perniagaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan mereka kini berada di Pengerang, Johor.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said malah, isu itu telah dikemukakan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN