30 warga asing tidak miliki dokumen perjalanan sah ditahan - Utusan Malaysia

30 warga asing tidak miliki dokumen perjalanan sah ditahan

30 warga asing tidak miliki dokumen perjalanan sah ditahan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 30 warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dalam Op Kutip di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.

Menurut Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd. Hamid, penahanan itu membabitkan 15 warga Bangladesh, tujuh Nepal, lima warga Indonesia termasuk seorang wanita, dua warga Myanmar dan seorang daripada India.

Menurut beliau, daripada jumlah itu seramai 18 orang daripadanya didapati melakukan kesalahan di bawah Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh masa di Malaysia.

Sementara itu, katanya, seramai 12 lagi warga asing lain ditahan kerana dikesan tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah untuk masuk dan berada di negara ini kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.

“Operasi di Hentian Bas MBKT hari ini adalah yang kedua sejak Rabu lalu hasil aduan orang ramai dan kita dapati memang ramai warga asing berkumpul di sini pada hujung minggu untuk mencari barang keperluan.

“JIM Terengganu telah memeriksa 220 individu dan 30 daripada mereka berusia 30-an sehingga 50-an didapati melanggar kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen yang sah.

“Ini adalah operasi ke-32 sepanjang lima hari ini dan akan diteruskan sebagai peringatan kepada warga asing agar patuh peraturan di Malaysia selain kepada majikan supaya menggaji pekerja yang sah,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Azhar menasihatkan agar pihak majikan dalam semua sektor termasuk pembinaan dan perladangan untuk bekerjasama dengan pihak JIM.

Menurut beliau, masih ada masa buat majikan yang berdaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja agar mengambil pekerja yang sah sebelum tempoh berbuat demikian ditutup dalam masa terdekat.

Katanya, ia bagi memastikan pekerja warga asing dapat bekerja dengan selamat dan mempunyai dokumen pekerjaan atau perjalanan yang berdaftar dengan pihak berkuasa.

“JIM mengenal pasti tiga kesalahan popular dalam kalangan pekerja warga asing iaitu tinggal lebih masa, tiada dokumen yang sah serta melanggar peraturan permit yang diberikan kepada mereka.

“Pihak majikan juga perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan hanya mengambil pekerja yang berdaftar supaya peraturan-peraturan di negara kita tidak dilanggar sesuka hati,” tambah beliau.

Habis

Caption

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan dalam Op Kutip di Hentian Bas MBKT, Kuala Terengganu, hari ini. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya