MARANG: Seramai 14,296 suri rumah di negeri ini didaftarkan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) melalui tajaan kerajaan dan sukarela sepanjang tahun lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, jumlah itu bagaimanapun masih rendah dan berharap lebih ramai suri rumah mencarum di bawah SKSSR.
Menurut beliau, Perkeso Terengganu berjaya menyelesaikan 54 kes tuntutan melibatkan bayaran hampir RM100,000 kepada suri rumah berinsurans (SRB) yang mencarum atau waris mereka.
Jelas Farihah, pembayaran itu termasuk faedah pengurusan mayat sebanyak 28 kes, pencen penakat (24 kes) serta notis kematian ilat dan notis bencana domestik masing-masing satu kes.
“Sepanjang 2023, pihak kami membayar RM56,000 iaitu faedah pengurusan mayat, RM40,785.94 bagi pencen penakat, RM1,500 untuk notis bencana domestik dan ilat kematian sebanyak RM870.
“Secara keseluruhan dalam tempoh tersebut Perkeso Terengganu telah menjelaskan bayaran RM99,155.94 kepada SRB atau waris bagi membantu meringankan beban mereka.
“Diharap lebih ramai suri rumah mendaftar di bawah SKSSR sebagai perlindungan kerana dengan caruman RM150 setahun, SRB boleh menerima faedah pencen bulanan RM300,” ujarnya setelah menyerahkan faedah keilatan SKSSR kepada Rohaya Jalil, 53, seorang suri rumah yang menghidap sakit kencing manis dan masalah saraf.
Menurut Farihah, Rohaya merupakan SRB pertama di negeri itu yang layak menerima faedah ilat RM300 sebulan sehingga berusia 55 tahun selain pembiayaan pemulihan sehingga RM50,000 termasuk kaki palsu.
Rohaya yang merupakan ibu kepada empat orang anak mengakui terkejut layak menerima bantuan Perkeso setelah tidak pernah mencarum sebarang perlindungan di bawah agensi berkenaan.
“Saya hanya tahu diri dicarumkan melalui surat Perkeso tahun lalu memaklumkan perlindungan akan tamat pada November 2023 dan ketika itu baru beberapa bulan kaki kiri saya dipotong dari paras lutut ke bawah.
“Rupanya saya dicarum hasil tajaan kerajaan dan pencen bulanan RM300 ini boleh membantu saya membuat rawatan susulan selain pembiayaan pemulihan,” ujarnya yang berkerusi roda. – UTUSAN