Zionis mahu tubuh 'Israel Raya'

Zionis mahu tubuh ‘Israel Raya’

Kemusnahan Semenanjung Gaza akibat diserang tentera Zionis Israel dikatakan sebahagian daripada rancangan untuk menubuhkan `Israel Raya', semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu adalah usaha rejim Zionis bagi menjayakan perancangan yang dikenali sebagai ‘perjanjian abad ini’ untuk menubuhkan negara ‘Israel Raya’ di bumi Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Strategi Antarabangsa (IRIS Institute), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, pada tahun 1967 Israel pernah menjajah Gaza dalam Perang Enam Hari membabitkan beberapa negara Arab namun menyerahkannya semula kepada penduduk asal.

“Namun impian untuk menubuhkan Israel Raya tidak pernah terpadam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, ketika zaman pemerintahan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), terdapat satu perancangan yang dipanggil sebagai ‘perjanjian abad ini’ yang di dalamnya terkandung perancangan untuk menyusun dan membangunkan semula Gaza mengikut kehendak Israel.

“Mereka akan menempatkan orang yang sebenarnya akan menjadi ‘pak turut’ mengikut perancangan Israel manakala penduduk asal Semenanjung Gaza akan dihalau keluar,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah batu penghalang untuk merealisasikan impian Israel menyusun semula wilayah tersebut mengikut kehendak mereka.

Menurutnya, penduduk Semenanjung Gaza yang melawan dan tidak membenarkan Israel merealisasikan impian tersebut akan dihalau keluar ke penempatan yang telah dibina di Semenanjung Sinai secara paksa.

“Jadi apa yang berlaku hari ini sebenarnya adalah pelaksanaan kepada perancangan lama untuk mengambil alih keseluruhan tanah Semenanjung Gaza namun rakyat Palestin melawan, tidak mahu menyerahkan walau seinci pun tanah mereka, jadi Israel akan ambil secara keras.

“Mereka tidak akan mengambil secara beransur-ansur seperti yang berlaku di Tebing Barat, sebaliknya ambil secara keras dengan melakukan pembunuhan di Gaza,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, berdasarkan kajian pihaknya, Semenanjung Gaza akan dibangunkan mengikut penyusunan syarikat dimiliki orang Israel termasuk membabitkan eksplorasi minyak dan gas asli.

“Syarikat Israel sudah ada perancangan mereka sendiri untuk bangunkan Semenanjung Gaza, mereka mahu bina hotel, pelantar minyak untuk eksplorasi minyak dan gas dan sebagainya,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, kesan daripada kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap orang awam di Semenanjung Gaza tanpa sebarang intervensi daripada mana-mana negara akan menyebabkan wilayah seluas 350 kilometer persegi itu bertukar menjadi ‘perkuburan syuhada terbesar dunia’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN