ZIM perlu urus keluar 4,000 ‘transhipment’ terkandas

ZIM perlu urus keluar 4,000 kargo transit terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM perlu mengurus keluar sebanyak 4,000 buah kontena kargo transit (transhipment) yang terkandas di negara ini terutamanya di Pelabuhan Klang dalam tempoh terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ZIM harus menghubungi syarikat perkapalan lain bagi proses mengurus keluar kontena-kontena berkenaan.

“Yang kita tahu setakat ini ada 4,000 kontena yang masih terkandas di Port Klang khususnya di Westport. Kontena tersebut patut dikeluarkan melalui syarikat perkapalan (ZIM).

“Apabila kita ambil tindakan (sekatan), syarikat perkapalan ini perlu menghubungi syarikat perkapalan lain untuk angkut keluar kontena-kontena ini dalam masa terdekat untuk destinasi seterusnya,” katanya.

Anthony berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan di antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di sini hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel iaitu ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat berkenaan wajib mengatur proses untuk mengeluarkan kontena berkenaan bagi mengelak ia terus tersadai di pelabuhan negara.

“Sebanyak 4,000 buah kontena ini bukan satu destinasi atau satu pelabuhan sahaja, mungkin libatkan pelbagai pelabuhan.

“Jadi bukan satu syarikat perkapalan boleh selesaikan kesemua 4,000 sekali gus. Justeru, dalam perkara ini kita beri sedikit masa supaya kontena dapat dikeluarkan,” ujarnya. – UTUSAN

 

//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN