PETALING JAYA: Jumlah rakyat asing yang ditangkap kerana terbabit jenayah meningkat 20.09 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 2,366 orang ditangkap dalam tempoh tersebut iaitu peningkatan sebanyak 409 orang berbanding empat tahun sebelum ini.
“Ini kerana pintu sempadan dibuka semula dan tiada lagi sekatan jalan raya antara sempadan daerah atau negeri menyebabkan mereka mengambil kesempatan melakukan jenayah demi kelangsungan hidup,” katanya di sini semalam.
Kata beliau, berdasarkan rekod, seramai 19,401 orang warga asing ditahan sepanjang lima tahun kebelakangan ini bagi tempoh sama iaitu Januari sehingga November 2019 kerana melakukan jenayah.

Menurutnya, seramai 10,548 orang ditangkap pada 2019 diikuti 2020 (2,510 orang) selain 2021 (2,020 orang) dan 2022 (1,957 orang).
“Pada tahun 2020 hingga 2022 dilihat penurunan yang drastik dibandingkan dengan tahun 2019. Ini disebabkan wabak covid yang melanda negara dan sempadan negara ditutup,” jelasnya.
Ayob Khan memberitahu, indeks kes jenayah tahun ini menunjukkan kes paling tinggi dilakukan warga asing adalah mencuri iaitu 1,085 kejadian.
Selain itu, kata beliau, jenayah tertinggi yang dilakukan mereka adalah mencederakan manusia dengan 377 kes diikuti pecah rumah (278 kes,), bunuh (202 kes), samun (189 kes), rogol (111 kes), curi motosikal (88 kes), curi motokar (35 kes) dan curi lori atau jentera berat (satu kes).
“Antara kesalahan tertinggi dilakukan dalam jenayah kekerasan adalah kes mencederakan manusia iaitu sebanyak 377 kes manakala jenayah harta benda, adalah kes curi iaitu sebanyak 1,085 kes.
“Sepanjang tempoh itu, warganegara dari lima negara mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu, warganegara Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina dan India,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayob berkata, PDRM akan terus menggempur mana-mana lokasi yang dikesan menjadi tumpuan PATI berkumpul meskipun dikawal oleh tonto atau mata-mata.
“Sebagai contoh serbuan di Jalan Silang yang lalu, kita tahu ada tonto atau mata-mata yang menjaga kawasan tersebut dan memberi maklumat kepada pati sekiranya ada serbuan.
“Tindakan pantas polis membuat kepungan di situ berjaya menyekat maklumat tonto salurkan seterusnya berjaya menahan semua PATI termasuk tonto.
“Pihak polis telah buat kajian kawasan yang sesuai untuk membuat kepungan berdasarkan risikan awal yang telah dijalankan dan ini akan berterusan di lokasi-lokasi lain,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang tidak akan berkompromi dengan PATI, malah akan terus menggempur lokasi-lokasi panas di seluruh negara sekiranya mendapat maklumat.
Jumaat lalu, ‘mini Dhaka’ sekitar Kompleks Kota Raya dan Jalan Silang dekat sini diserbu PDRM.
Dalam operasi khas itu, seramai 1,138 anggota pegawai dari Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi itu.
Operasi Itu turut melibatkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, Unit Anjing Pengesan (K9).
Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut terlibat dalam operasi itu. – UTUSAN










