KUCHING: Seorang wanita berumur 44 tahun merupakan individu yang ke-66 meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck berkata, wanita berkenaan mula bergejala pada 28 November dan meninggal dunia pada 12 Disember lalu di Bahagian Kuching.
“Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan mangsa dijangkiti rabies. Mangsa mempunyai enam ekor kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar dan kesemua kucing peliharaan ini tidak pernah diberi suntikan vaksin rabies.
“Salah seekor kucing peliharaan mangsa mati dua bulan yang lepas. Selain itu, mangsa juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Bagaimanapun mangsa menafikan sejarah gigitan haiwan tetapi berdasarkan pemerhatian klinikal, mangsa mempunyai kesan lama cakaran dan luka, dan sentiasa dijilat oleh kucing peliharaan namun mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan atau menerima vaksin rabies di mana-mana fasiliti kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sebanyak 18 kes rabies dalam kalangan manusia termasuk 16 kes kematian telah dilaporkan di Sarawak sejak 1 Januari hingga 13 Disember tahun ini.
“Daripada 18 kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes di Sibu, empat kes di Serian, empat kes di Kuching, tiga kes di Bintulu dan dua kes di Samarahan.
“Terdapat peningkatan kes berbanding hanya 14 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak empat kes atau 28.6 peratus,” katanya.
Bagi kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 73 kes dengan 66 kematian.
Susulan peningkatan kes rabies dalam kalangan manusia berserta haiwan iaitu anjing dan kucing di Sarawak, Dr. Ooi menggesa agar orang awam sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan berkenaan. – UTUSAN