UMNO-Warisan musuh menggerunkan tapi bukan ancaman-ADUN DAP

UMNO-Warisan musuh menggerunkan tapi bukan ancaman-ADUN DAP

JANNIE LASIMBANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Biarpun kerjasama antara UMNO dan Parti Warisan (Warisan) boleh dikatakan sebagai musuh yang menggerunkan namun, mereka bukan ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, beliau tidak melihat sebarang gabungan politik sebagai satu ancaman melainkan gabungan itu mampu membuktikan mereka boleh bekerja dengan cukup baik.

“Kita boleh mempertimbangkan mereka (UMNO-Warisan) sebagai musuh yang menggerunkan namun, kami tidak harus rasa terancam oleh mana-mana gabungan.

“Saya tidak akan lihat sebarang parti politik sebagai ancaman sehingga mereka boleh bekerja dengan baik kerana mereka boleh buat kesilapan. Kita telah lihat bagaimana kita jatuh sebagai kerajaan jika kita buat kesilapan, kita kena belajar daripada itu.

“Bagi saya, langkah terbaik di Sabah adalah melihat kepada gabungan yang boleh berkhidmat kepada rakyat dengan cara yang baik dan mampu menstabilkan politik,” katanya semasa program PBSL Ihsan Madani (kepulangan yang dinanti) sempena Krismas di Penjara Pusat Kota Kinabalu, hari ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Sabah itu berkata, situasi politik di Sabah agak unik kerana UMNO terbahagi kepada dua dan majoriti daripada mereka berada dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kumpulan yang ingin bekerjasama dengan Warisan hanya sebilangan kecil sahaja.

Menurut Jannie, jika dilihat kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan mampu bergerak kehadapan namun, perkara sebegitu tidak dapat dicapai di peringkat negeri Sabah kerana masih terdapat dua parti pembangkang.

Walau bagaimanapun, beliau percaya kerjasama UMNO-Warisan itu masih mempunyai peluang kerana kedua-dua parti mempunyai pengalaman memerintah Sabah.

“Apa yang penting adalah bagaimana kita dapat bekerjasama tidak kira mereka dalam pembangkang…yang penting bagaimana dapat memberi sumbangan,” katanya.

Jannie berkata, bagi pihak PH Sabah, kerjasama dengan kerajaan GRS diteruskan sehingga habis penggal dan PH sentiasa bersedia terbuka untuk berbincang dengan semua parti.

“PH memang ada perbincangan dengan Ketua Menteri, memang tujuan (kerjasama) sehingga habis tempoh. Oleh kerana sudah ada perbincangan, saya rasa kami memang akan teruskan berdialog dengan semua parti.

“Kita sentiasa terbuka kepada semua perbincangan. Adalah perkara biasa, parti seperti DAP, kami akan lihat mulai sekarang atau sebelum ini untuk berdialog dengan semua parti yang ada,” katanya.

Baru-baru ini, semasa Perhimpunan Agung Tahunan Warisan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal masing-masing tidak menolak kemungkinan akan membentuk kerjasama namun, tidak diputuskan bila kerjasama UMNO-Warisan itu akan dimeterai secara rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN