PETALING JAYA: UMNO perlu membuat ‘proksi referendum’ dalam kalangan ahlinya bagi mengukur penerimaan mereka terhadap kepemimpinan parti dan juga hubungan dengan DAP.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, langkah itu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini penting ketika kredibiliti Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipertikai pihak tertentu.
Dakwanya, keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana jawatan Presiden yang disandang Ahmad Zahid tidak dipertanding dalam pemilihan sebelum ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, satu-satunya pilihan untuk membuktikan sokongan akar umbi ialah membuat referendum melalui pungutan suara akar umbi, jika Ahmad Zahid masih mahu mengepalai UMNO.
“Sebab itu saya suruh buat referendum, tanya akar umbi UMNO, anda mahu mana satu (parti untuk bekerjasama)? Referendum ini satu pungutan suara yang kita tidak pernah buat sebelum ini iaitu pergi ke cawangan buat pungutan suara dan bawa ke Perhimpunan Agung Khas.
“Atau buat proksi referendum iaitu buat pemilihan Presiden baharu. Takkan beliau mahu buat keputusan penting macam ini tetapi tidak mendapat mandat (tidak bertanding)? Jadi, kalau beliau tidak mahu tanya setiap seorang akar umbi, buat pemilihan presiden dan kita akan tahu siapa akan undi dan tidak undi anda,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian pada akhir rancangan temubual podcast (audio siar) yang disiar secara eksklusif oleh MMTV dihoskan Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Ketua Unit MMTV, Roshihan Annuar Yub.
Isham berkata: “Sekarang ini dinamik politik sudah bertukar. Dahulu tiada faktor DAP. Kalau diberi pilihan, contohnya kita sudah kalah pilihan raya, mahu bentuk kerajaan dengan Pas, tetapi dia suruh kita terima Bersatu. Pilihannya sama ada terima Bersatu atau DAP? Jadi, kita pergi kepada akar umbi, kena pilih antara keduanya,” katanya.
Beliau berkata, Ahmad Zahid berisiko besar untuk tewas jika membuat referendum melalui pungutan suara kerana rata-rata penyokong menolak kerjasama UMNO-DAP.
Katanya, walaupun beliau telah mencadangkan referendum kepada Ahmad Zahid sebelum ini, Presiden UMNO itu enggan melakukannya, sebaliknya sanggup membuat keputusan secara unilateral atau sepihak.
Jelasnya, ia terbukti apabila Ahmad Zahid melantik ramai pemimpin UMNO dalam kalangan penyokongnya memegang jawatan tanpa melalui pemilihan dan yang menentang keputusannya bakal berdepan risiko.
“Sebab itu saya kata, semasa saya ditanya (Ahmad Zahid) dahulu mana awak tahu akar umbi UMNO tidak setuju kerjasama dengan DAP? Saya kata kalau nak tahu betul-betul, buat tinjauan.
“Saya percaya mereka sudah buat tinjauan tetapi tidak uar-uarkan tinjauan itu. Dan kalau mahu pastikan lagi,” katanya.
Pada 6 Disember lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan memecat Isham serta-merta dipercayai mengenai tindakannya yang lantang mengkritik kepemimpinan parti terutama berkaitan keputusan bersama DAP dalam kerajaan Perpaduan dan selepas BN tewas pada Pilih Raya Kecil (PRK) Kemaman, sebelum ini. – UTUSAN










