KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita dalam pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT), Jumaat lalu.
Ngu Chee Liang, 31, didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 22 tahun itu dengan cara menunjukkan kemaluannya ketika pengangkutan itu dalam perjalanan dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, Kepong di sini pada pukul 6.46 petang, 5 Disember lalu.
Majistret Wong Chai Sia turut merintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Tindakan kamu telah mengundang ketakutan orang ramai kerana kesalahan dibuat di tempat awam,” kata majistret berkenaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana mengundang ketakutan kepada mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sukdesh Francis Xavier merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibunya.
Pada Selasa lalu, media melaporkan pihak polis berjaya memberkas seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya ke arah seorang wanita dalam MRT, pada 5 Disember lalu.
Menurut siasatan awal, suspek mengaku dengan sengaja menunjukkan kemaluannya ke arah pengadu semasa berada di dalam gerabak tersebut.- UTUSAN