Tidak benar DAP mahu campur urusan agama Islam - Loke

Tidak benar DAP mahu campur urusan agama Islam – Loke

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenyataan Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor dan bertujuan menasihati majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas mahkamah syariah.

Kata beliau, sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Koo Ham sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan perlu melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Loke berkata, masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri .

Kata beliau, ia seterusnya perlu melalui proses seperti biasa dan dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.

“Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya