Terima suapan RM500, pegawai maritim didenda RM7,000 - Utusan Malaysia

Terima suapan RM500, pegawai maritim didenda RM7,000

PEGAWAI Maritim Malaysia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM500 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM500 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fadzil Abdullah, 48, yang berpangkat Bintara Muda Maritim Gred T6 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menerima wang berjumlah RM500 daripada seorang pemilik perniagaan berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank di Jelutong, Daerah Timur Laut pada 17 April 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.

Raman dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman minimum susulan anak guamnya berisiko kehilangan jawatan selain menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Afiqa Liyana bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan supaya ia dapat dijadikan pengajaran dan amaran kepada bakal pesalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.

Mohd Fadzil kemudiannya membayar denda terbabit.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohd. Fadzil turut berdepan empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan rasuah namun mahkamah memutuskan tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan selepas menerima representasi yang dikemukakan Raman terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 6 Julai lalu, media melaporkan Mohd Fadzil didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM7,900 daripada seorang pemilik syarikat antara 17 April 2017 sehingga 2 Ogos 2018.

Dia yang ketika itu mengaku tidak bersalah dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga selesai perbicaraan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya