SHAH ALAM: Terpaksa berpuas hati di tangga kedua dalam Famili Duo 3, pasangan adik-beradik, Adira dan Emma Suhaimi menjadikan kritikan serta komen pedas juri sebagai pedoman untuk mereka terus berjuang dalam industri seni.
Jelas Adira, dia tidak pernah menganggap kemenangan adalah satu pembuktian kehebatan sebaliknya mereka berdua puas selepas memberi sehabis baik untuk kedua-dua persembahan.
“Lega sangat apabila tamat Famili Duo 3 ini. Memang atau tidak, itu belakang kira. Tak menang pun tak apa. Tetapi kami sudah beri sehabis baik sampai rasa nak menangis sebab lega sangat.
“Apa yang kami rancang untuk buat, Alhamdulillah sudah dilaksanakan. Memang ada kritikan daripada juri tetapi kami anggap itu satu pesanan. Perjalanan kami dalam industri seni ini masih jauh.
“Kalau hendak terasa atau berkecil hati, tak payah masuk bertanding. Dari awal setuju pun kami sudah membuka ruang untuk dikritik dan sangat berlapang dada dengan komen-komen mereka,” ujarnya.
Cemerlang sebagai naib juara, duo beradik yang mempertaruhkan lagu Pelesit Kota (nyanyian asal Search) bagi tema bebas mendapat kritikan juri kerana kurang menonjolkan identiti dan kemampuan sebenar.
Mereka sebelum itu mendapat standing ovation daripada juri bagi pusingan pertama turut mempersembahan lagu Bang Bang (nyanyian asal Ariana Grande, Jessie J dan Nicky Minaj) bertemakan Kumpulan dan Duet Popular.
Ditanya tentang perancangan kerjaya seni, Emma teruja kerana dia bakal mengukuhkan nama dan kariernya sementelah penyanyi asal Sabah itu bakal berpindah ke Kuala Lumpur tahun hadapan.
“Memang ada perancangan untuk single duet dengan Adira. Saya juga bakal menetap di sini jadi akan banyak ruang dan peluang untuk karier saya.
“Tetapi saya sebenarnya sangat aktif di Sabah. Setiap minggu ada undangan persembahan cuma tidak menonjol di televisyen sahaja,” ujarnya.