SHAH ALAM: Selain faktor pemakanan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NTUP) tidak menolak kemungkinan tekanan atau stress menyebabkan ramai guru menghidap penyakit kronik terutama jantung dan barah.
Presiden NUTP, Aminudin Awang berkata, dua penyakit itu antara yang paling banyak dalam kalangan guru berdasarkan manfaat sumbangan yang disediakan oleh kesatuan tersebut kepada ahlinya.
“Daripada data yang ada, ramai daripada guru yang kena kanser dan masalah jantung. Puncanya banyak faktor seperti makanan, tetapi stres pun ada juga peratusan kewajarannya,” kata beliau ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kad Perubatan NUTP Medicare, semalam.
Menurutnya, kedua-dua penyakit itu antara yang tersenarai dalam 36 penyakit kritikal oleh NUTP ketika memberikan manfaat sumbangan kepada guru yang mengalami masalah kesihatan itu.
Aminudin berkata, NUTP menyediakan manfaat sumbangan kepada guru-guru mengikut senarai tersebut dan mengesan penyakit jantung dan pelbagai jenis kanser menjadi pemberian sumbangan tertinggi.
“Ahli NUTP yang dapat penyakit kritikal akan diberi RM2,000, itu di peringkat kita, bukan insurans,” katanya.
Sementara itu katanya, kad perubatan tersebut merupakan manfaat baharu yang boleh dimohon oleh guru-guru dari seluruh negara menerusi program NUTP Medicare dengan kerjasama Zurich General Takaful Malaysia Berhad pada bayaran premium serendah RM70 untuk individu dan RM180 untuk keluarga.
Jelas Aminuddin, manfaat tersebut memberi peluang kepada lebih 400,000 guru untuk mendapatkan rawatan pakar lebih 160 panel hospital swasta yang dalam masa sama membantu mengatasi lambakan pesakit di hospital awam.
Menurutnya, kad perubatan tersebut menjadi perlindungan alternatif kepada penerimanya untuk mendapatkan rawatan segera melalui kadar sumbangan yang mampu milik dengan nilai perlindungan komprehensif.
“Kita hendak memastikan ahli-ahli kita terjaga dari segi bukan sahaja semasa mereka sihat tetapi masa mereka tidak sihat. Dalam rawatan pun mereka akan mendapat khidmat yang terbaik sama macam masa mereka sihat dan bekerja.
“Jadi, kalau mereka dapat memperuntukkan sebanyak RM180 sebulan, bukan sahaja mereka tetapi semua ahli keluarga yang di bawah 23 tahun, kalau mereka ada tujuh orang anak bawah 23 tahun bermaksud sembilan orang dilindungi dengan RM180,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Takaful, Shamsul Azman Alias memaklumkan, tawaran dalam kerjasama dengan NUTP menjadi sebahagian daripada inisiatif untuk menghargai pengorbanan dan jasa guru. – UTUSAN










