PETALING JAYA: Sebuah syarikat yang terlibat dalam penipuan pakej umrah didakwa gagal mematuhi awad yang menuntut mereka membayar ganti rugi kepada mangsa selepas 14 hari perintah tersebut diterima.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Tribunal Tuntutan Pengguna sebelum ini bersetuju dengan tuntutan mangsa penipuan dan memberi awad kepada mereka.
Kata beliau, di bawah 12 Akta Perlindungan Pengguna oleh Tribunal Tuntutan Pengguna, syarikat tersebut sepatutnya membuat pembayaran dalam tempoh masa 14 hari selepas awad itu diterima olehnya.
“Keingkaran terhadap awad yang telah dikurniakan kepada mangsa-mangsa penipuan pakej umrah ini menunjukkan bahawa penentang (syarikat) tidak menghormati undang-undang yang diwartakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna dan tidak takut dengan kesan serta akibat dari keingkaran mereka itu.
“Oleh yang demikian, tujuan MHO dan mangsa-mangsa hadir ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada hari ini adalah untuk menyerahkan surat aduan kepada KPDN berkenaan dengan kegagalan dan keingkaran syarikat ini untuk menurut dan mematuhi awad yang telah dikurniakan kepada mangsa-mangsa ini.
“Aduan yang akan diserahkan ini adalah berlandaskan dan selari di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 123 individu menjadi mangsa dalam penipuan pakej umrah yang dibuat oleh sebuah syarikat dengan melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.3 juta.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, menggesa satu tindakan pendakwaan dan pertuduhan dibawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dilakukan segera susulan keingkaran syarikat tersebut mematuhi awad yang diberikan.
“Ini adalah kerana mangsa-mangsa ingin menyatakan bahawa ianya akan menyebabkan ketidakadilan ke atas penerima awad ini seandainya penentang atau syarikat ini dibiarkan sahaja untuk tidak menghormati dan mematuhi prinsip perundangan sepertimana yang telah diwartakan di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Ianya juga merupakan satu pencabulan hak penuntut di bawah Akta ini yang mana ianya diwartakan dengan bertujuan untuk melindungi hak[1]hak pengguna di Malaysia,” katanya. – UTUSAN