Suspek dikehendaki kes dadah pecut kereta sehingga ke Pulau Pinang

Suspek dikehendaki kes dadah pecut kereta sehingga ke Pulau Pinang

KERETA Proton Wira dinaiki dua suspek yang melarikan diri daripada polis dari Sungai Petani ke Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis berjaya memberkas dua suspek di atas Jambatan Pulau Pinang yang melarikan diri dengan sebuah kereta ketika dikejar dari Bakar Arang, di sini awal pagi semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 40-an yang menaiki kereta jenis Proton Wira itu merupakan suspek dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang kerana dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek pada mulanya berada dalam keadaan mencurigakan oleh anggota unit kereta peronda (MPV) di Kawasan Perindustrian Ringan di Bakar Arang kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Susulan itu anggota cuba menahan kereta terbabit untuk membuat pemeriksaan namun pemandunya memecut laju memasuki laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan. Dua buah MPV mengejar kenderaan terbabit yang menaiki Jambatan Pulau Pinang untuk meloloskan diri.

“Kita memohon bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk menahan suspek, namun kenderaan itu dikesan berpatah balik menggunakan jambatan untuk ke tanah besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.  

Zaidy berkata, kereta yang dipandu dalam keadaan melulu itu kemudian terlibat kemalangan kira-kira pukul 3 pagi dengan sebuah kenderaan lain di atas jambatan sebelum pemandunya bertindak terjun ke dalam laut.

“Suspek diselamatkan oleh nelayan, manakala rakannya ditahan di dalam kereta terbabit. Pemeriksaan di dalam kereta tidak menemukan apa-apa barang terlarang atau senjata berbahaya,” katanya. 

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan perundangan berkaitan kesalahan trafik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya