Susah dapat beras tempatan di Kedah

Susah dapat beras tempatan di Kedah

HARGA beras tempatan dan import akan diselaraskan bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun bergelar ‘Jelapang padi negara’, ia bukan jaminan untuk penduduknya mendapatkan beras tempatan dengan mudah.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis di sini mendapati, beras import pelbagai jenama masih kekal mendominasi keseluruhan rak jualan sama ada di pasar raya atau kedai runcit sejak September lalu.

Malah, jika terdapat penjualan beras tempatan, bekalan itu ibarat ‘pisang goreng panas’ kerana pembeli terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan beras berkenaan bagi kampit 5 kilogram (kg).

Keadaan itu seolah-olah menggambarkan pengeluaran yang dikatakan antara 60 sehingga ke 65 peratus setahun bukannya melibatkan beras tempatan sebaliknya membabitkan beras import.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, berdasarkan situasi semasa kadar tuaian padi negara, bekalan beras tempatan sepatutnya berada dalam lingkungan 40 ke 45 peratus ketika ini.

“Tetapi apa yang menghairankan bekalan beras tempatan tetap tidak ada di pasaran atau pun sangat terhad dijual kepada pengguna sedangkan maklumat daripada petani sendiri mereka menjual padi kepada pengilang pada kuantiti biasa seperti sebelum ini.

“Perkara ini terus menimbulkan kemusykilan terhadap pengguna kerana setiap kali mereka ke kedai untuk membeli beras, yang ada hanyalah beras import dan mahu tidak mahu mereka terpaksa beli juga walaupun harganya RM40 ke atas bagi kampit 10kg,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 67 kilang padi dan beras di Kedah iaitu 15 daripadanya milik Bumiputera, 41 bukan Bumiputera dan 11 kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan sembilan daripadanya tidak aktif.

Kapasiti simpanan padi bagi setiap kilang tersebut antara 2,000 metrik tan hingga 42,000 metrik tan sementara kapasiti simpanan beras pula antara 200 metrik tan hingga 17,500 metrik tan.

Sementara itu, Mohd. Yusrizal berkata, Cake sendiri hampir setiap hari terus menerima aduan daripada orang ramai berhubung kesukaran mereka mendapatkan bekalan beras tempatan di pasaran.

“Ada juga yang tanya mengapa jualan-jualan khas yang dianjurkan pelbagai pihak mudah dijual beras tempatan tetapi tidak di pasaran runcit. Perkara ini juga harus ditangani kerajaan kerana tidak semua berpeluang mengunjungi program jualan itu bagi mendapatkan beras tempatan pada harga jauh lebih murah daripada beras import.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat kegiatan memanipulasi beras tempatan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab selepas terdapat pengumuman kerajaan sedia mengkaji syor menaikkan harga siling BPT sebelum ini,” katanya.

Seorang peniaga, Che Muri Lazim, 65, berkata, sejak harga beras import diapungkan, dia sudah tidak lagi menerima beras tempatan daripada pemborong untuk dijual di kedainya.

“Sebelum ini saya dapat menjual 20 kampit beras tempatan untuk 5kg, manakala 15 kampit beras untuk 10kg. Tapi selepas 1 September, sudah tidak ada beras tempatan yang dihantar ke kedai saya. Beras import pula saya tidak dapat jual kerana tidak ada sambutan.

“Pelanggan saya terdiri dalam kalangan peniaga kedai makan, dan mereka akan beli terus di sini tetapi sekarang bekalan beras tempatan sukar diperoleh menyebabkan stok habis terus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×