Studio Kembara pecat pengarah Pendekar Awang

Enggan mutu filem terjejas punca Studio Kembara pecat pengarah Pendekar Awang

PARA pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah semasa majlis sidang media pelancaran trailer rasmi di Malakat Mall, Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Penerbit rumah produksi Studio Kembara, Abdul Rahman Md. Dali memaklumkan pengguguran Areel Abu Bakar selaku pengarah filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebelum ini adalah untuk melindungi mutu naskhah berkenaan.

Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi tentang kualiti filem yang dihasilkan justeru mengambil keputusan tersebut untuk kebaikan Studio Kembara dan naskhah yang syarikat tersebut hasilkan.

“Setiap keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan Studio Kembara dan mutu naskhah yang ingin kami persembahkan kepada industri filem tanah air.

“Kami tidak mahu sentuh isu kontroversi. Saya pun tidak jelas tentang dakwaan yang dibuat Areel, justeru mengajak dia untuk berjumpa sekitar empat bulan lalu. Namun dia tidak hadir,” katanya yang ditemui pada sidang media, baru-baru ini.

Pendekar Awang merupakan prekuel kepada filem Mati Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang diterbitkan tahun lepas.

Areel mencipta sensasi apabila mendedahkan dirinya digugurkan Kembara Studio April lalu, ketika proses suntingan mencapai 90 peratus.

Dalam masa yang sama, Abdul Rahman menegaskan pihak penerbit berhak memilih dan memutuskan visual yang ingin dipakai meskipun Areel sebelum ini mendakwa telah hampir menyiapkan penggambaran filem berkenaan.

“Tentang dakwaannya, itu hanya perkiraan Areel sahaja. Cara kami nilai adalah berbeza,” tambahnya.

“Areel menghasilkan banyak visual ketika masih dilantik sebagai pengarah, namun bukan semua visual yang dihasilkan akan dimasukkan dalam filem itu,” kongsinya.

Bercakap tentang pengarah yang menggantikan Areel, Abdul Rahman memberitahu hanya akan mendedahkan perkara tersebut sewaktu tayangan perdana filem berkenaan yang akan diadakan Januari tahun depan.

“Siapa pengarahnya, nanti saya kongsikan. Dalam 20 hari sahaja lagi, sabarlah,” kongsinya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang diinspirasikan daripada kisah sejarah menelan belanja melebihi RM10 juta. Filem yang menampilkan Fattah Amin sebagai pelakon utama akan menemui penonton pada 11 Januari 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×