KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima rakan artis berkaitan siaran langsung dalam Instagram (IG), selesai secara baik selepas kedua-dua pihak saling bermaafan dan memilih untuk tidak memanjangkan perbicaraan yang berlarutan selama dua tahun.
Siti Nordiana, 39, dan lima sekawan itu sepakat menyelesaikan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.
Lima sekawan selaku defendan ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37. Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.
Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin bersama-sama Ahmad Syaiful Bakri Mohamed yang mewakili Siti Nordiana memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.
Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah manakala peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Sam Musyadzafar.
Keenam-enamnya kemudian membacakan pernyataan maaf masing-masing di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan. Beliau kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah merekodkan persetujuan itu.
Dalam pada itu, pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu antara lain menyebut: “Permohonan maaf ini adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.
“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata mereka dalam pernyataan itu.
Siti Nordiana sepatutnya menyambung keterangan hari ini pada sesi pemeriksaan balas. Dalam perbicaraan sebelum ini, antara saksi-saksi plaintif yang telah dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya Mohamad Al Anas Osman, bekas wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Tengku Khalidah yang juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan ketika memberi keterangan menegaskan, tindakan memburukkan sesama rakan artis melalui siaran langsung (Live) perlu dielakkan agar perbuatan itu tidak menjadi rujukan dalam industri hiburan tanahair.
Menurut beliau, perbalahan yang berlaku di antara penyanyi Siti Nordiana Alias dan lima rakan artis sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan. Turut memberi keterangan, pengarah sebuah syarikat penjenamaan A. Geetharani dan peminat penyanyi itu Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen.
Pada Januari 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Sam Musyadzafar dan Razidah. Kedua-dua pemohon memfailkan permohonan itu pada 16 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.
Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – UTUSAN