BATU PAHAT : Wanita yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu Mira Sharmila Samsusah, merancang akan pergi ke rumah arwah ayah bersama kakaknya sebelum hilang selepas dikatakan pergi ke kedai dobi bersama teman lelakinya di kawasan berhampiran rumah.
Norisham Samsusah, 36, berkata, dia dan adiknya Mira Sharmila Samsusah, 32, merancang akan ke Kuala Selangor keesokan harinya menyebabkan adiknya yang juga seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak berusia satu dan empat tahun itu perlu membasuh pakaian kotor sebelum meninggalkan rumah.
Katanya, bagaimana pun seorang anak wanita yang lebih dikenali dengan panggilan Bella berusia empat tahun itu tinggal dengannya manakala seorang lagi berusia satu tahun bersama pengasuh bagi memudahkannya yang bekerja sendiri keluar membantu ibu berniaga selain membuat jualan atas talian
“Jika mengikut maklumat diberikan lelaki itu ketika laporan awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, adik saya dilaporkan keluar kira-kira pukul 8 malam menggunakan baju T dan seluar jeans hitam sedangkan dalam CCTV menunjukan dia menggunakan baju kelawar berwarna biru gelap.
“Dalam pemeriksaan pada CCTV di rumah jiran selanjutnya mereka keluar semula pada pukul 11.50 malam sebelum dikatakan ditinggalkan di tepi jalan anggaran pukul 12.15 tengah malam kerana bergaduh,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Norisham lagi, ketika meninggalkan rumah adiknya itu tidak membawa beg duit termasuk kad pengenalan termasuk dua bentuk cincin emas diatas meja ruang tamu ketika pemeriksaan selepas berjaya memasuki rumah melalui kunci rumah yang ditinggalkan oleh lelaki itu dibawah permaidani depan pintu rumah.
Ujarnya, usaha mencari adiknya itu sudah dilakukan di merata tempat yang berkemungkinan terjatuh atau hilang namun masih tidak menemui sebarang petanda akan menemuinya.
“Kini sudah memasuki hari ke 10 namun kehilangannya masih belum terjawab dan kami amat bimbang apatah lagi anak-anaknya yang masih kecil serta memerlukan kehadiran ibunya.
“Kami amat mengharapkan pihak polis dapat merungkai kehilangan satu-satunya adik saya yang ada ini, orang ramai juga diharapkan dapat membantu sama-sama mengesan kedudukannya,” katanya. –UTUSAN