HATYAI, THAILAND: Pengusaha van pelancongan Thailand berdepan kesukaran membawa masuk pelancong dari negara itu ke Malaysia apabila sering kali sering ditahan kerana didakwa menjalankan perkhidmatan mengambil dan menghantar penumpang Thailand sekitar pintu masuk Malaysia.
Malah, mereka juga mendakwa kerap disalah anggap oleh pihak berkuasa kononnya menawarkan perkhidmatan membawa pekerja restoran makanan Thailand untuk memperbaharui pas lawatan sosial.
Untuk rekod, warga asing yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran luar tidak dibenarkan menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) bagi membawa penumpang dan menjadikan perkhidmatan van mereka sebagai van penumpang atau kenderaan perdagangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemandu pelancong Thailand yang enggan mendedahkan nama berkata, pihaknya juga sudah beberapa kali berdepan masalah itu sewaktu membawa pelancong Thailand ke Malaysia untuk bercuti.
“Pelancong Thailand menjadi bosan apabila sering ditahan ketika memasuki Malaysia untuk bercuti malah kebanyakan pengusaha van pelancongan di sini juga kerap merungut disebabkan permasalahan itu.
“Keadaan tersebut turut menggangu percutian pelancong-pelancong Thailand ini sehinggakan mereka lebih memilih untuk ke negara lain yang tidak terlalu banyak birokrasi,” katanya.

Bermula dari awal tahun ini sehingga Oktober lalu, seramai tiga juta pelancong Malaysia memasuki Thailand khususnya berkunjung ke Hatyai. Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang iaitu perbezaan yang cukup ketara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, terdapat beberapa isu utama pernah dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan sebelum ini antaranya hospitaliti, perkhidmatan dan birokrasi yang menjadi antara faktor pelancong Thailand kurang berminat untuk bercuti ke Malaysia.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, ramai rakyat Thailand berminat bercuti di Malaysia seperti Pulau Pinang, Cameron Highland, Genting Highland, Kuala Lumpur dan pelbagai destinasi lagi.
“Namun disebabkan oleh isu hospitaliti dan mutu perkhidmatan kurang memuaskan membuatkan ramai pelancong dari Thailand memilih untuk bercuti ke destinasi lain. Selain masalah hospitaliti, isu berkaitan birokrasi juga menyebabkan pelancong dari Thailand kurang berminat bercuti ke Malaysia,” katanya.
Di samping itu, Aida berkata, bagi menarik kehadiran pelancong Thailand, pihak berkaitan perlu memainkan peranan dengan mengkaji tentang kehendak dan cita rasa golongan sasar.
Katanya, pihak berkaitan juga boleh memperbanyakkan lagi latihan dan kursus buat pemain industri bagi mengenal pasti kehendak pelancong-pelancong dari Thailand untuk menarik kehadiran mereka ke Malaysia.
“Antara lokasi yang diminati oleh pelancong Thailand ketika berkunjung ke Malaysia adalah seperti kedai fabrik, istana, lokasi pelancongan menarik dan pelbagai lagi,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hatyai sempena cuti perayaan Krismas Ahad lalu mendapati beberapa lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel di sekitar situ penuh dengan kehadiran rakyat Malaysia.
Malah, kenderaan persendirian, bas dan van pelancongan dari Malaysia juga dilihat berpusu-pusu menanti giliran di sempadan masuk Padang Besar bagi proses dokumentasi untuk memasuki Thailand bermula sejak pukul 6 pagi.
Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kedah, Nur Zawani Mohd Rushdi, 27, berkata, Hatyai menawarkan pelancongan gastronomi yang menyajikan pelbagai makanan tempatan dan budaya makanan unik.
“Makanan-makanan yang disajikan ini menjadi tarikan buat pelancong untuk merasai kelainan yang ditawarkan di sini. Layanan mesra daripada peniaga di sini juga turut memudahkan pelancong Malaysia untuk berurusan walaupun berdepan dengan kekangan bahasa dan komunikasi,” katanya.
Seorang pelancong dari Taiping, Perak, Mohd Rushdan Razali, 45, pula berkata, Hatyai menjadi pilihan berikutan kos perbelanjaan di sini lebih rendah dan berpatutan.
“Walaupun mata wang Malaysia lebih rendah dari Thailand namun harga barangan dan makanan yang dijual di sini masih rendah dan menjimatkan. Sebagai contoh, jika saya membawa RM1,000 untuk bercuti ke Hatyai, selepas pulang masih ada baki wang dan situasi ini berbeza jika melancong ke tempat-tempat lain,” katanya. – UTUSAN










