KUALA LUMPUR: Selepas kolaborasi dengan Ahmad Dhani menerusi Biar Menjadi Kenangan, penyanyi negara seberang, Raisa kini memilih Admesh Kamaleng untuk single terbarunya, Tak Berharap lagi.
Meskipun sekadar mencipta lirik bersama, Raisa menganggap kerjasama sulung dengan Admesh antara perkara teristimewa sepanjang kerjaya nyanyiannya.
“Saya yakin lagu ini akan menjadi sebuah lagi lagu pop klasik galau Indonesia pilihan ramai, apatah lagi jalan ceritanya juga dekat dengan pengalaman yang pernah dilalui banyak orang.
“Saya berharap lagu baharu yang digarap bersama Andmesh ini dapat membawa nostalgia, sekali gus bertahan sebagai karya malar segar,” kata Raisa dalam kenyataan.
Andmesh, dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa telah membayangkan Raisa sebagai penyanyi yang serasi untuk membawakan karya berkenaan.
“Karakter suara Raisa sangat sesuai untuk lagu ini. Tanpa ragu, saya terus mengirimkan lagu ini kepadanya,” katanya.
Tak Berharap Lagi, seperti mengajak pendengar untuk kembali ke era lagu galau Raisa. Potongan lagu itu, yang dikongsikan di media sosial Raisa beberapa minggu lalu telah membangkitkan keterujaan peminat untuk turut meraikan penghasilannya.
“Tak Berharap Lagi mewakili perasaan mereka yang pernah mengagung dan memuja cinta, tetapi berjalan waktu, perlahan ia hilang meskipun menyangka sudah bertemu dengan orang yang menurut mereka tepat.
“Seiring perjalanan waktu, tambatan hatinya itu menjadi sumber rasa sakit dan membuatkan dia tidak berani berharap lagi,” tambah Andmesh.
Tak Berharap Lagi boleh dinikmati di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, Langitmusik, Spotify, Tiktok Music, YouTube Music dan lain-lain bermula 15 Disember lepas.
Manakala, video liriknya pula sudah ditonton ramai di saluran YouTube: raisa6690.