SHAH ALAM: Allahyarham Adly Zarkasyi Alzafry sempat membuat panggilan video bersama keluarganya beberapa jam sebelum ditemukan maut akibat terjatuh daripada tingkat 34 sebuah kondominium di Kampung Baru, pada Selasa.
Ibu mangsa, Fazlina Fuad, 47, berkata, Allahyarham menghubunginya kira-kira pukul 6.30 petang ketika dia bersama ahli keluarganya yang lain dalam perjalanan untuk pulang ke kampung suaminya di Kangar, Perlis, pada petang Selasa.
“Allahyarham maklum yang kelasnya pada hari itu (Selasa) hanya dibuat secara online (dalam talian).
“Jadi, Adly Zarkasyi cakap rugi dia tak ikut kami sekeluarga pulang ke kampung sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Denai Alam, di sini, hari ini.
Menurut Fazlina, dia sudah membeli tiket bas untuk Allahyarham pulang ke Kangar pada Khamis.
Namun, dunia menjadi gelap buat Fazlina sekeluarga apabila polis menghubungi suaminya, Alzafry Abu Bakar, kira-kira pukul 8.15 malam memaklumkan Allahyarham maut setelah jatuh daripada kondominium berkenaan.
“Pada mulanya, suami ingat itu adalah panggilan palsu daripada scammer (penipu), tapi setelah anggota polis memberikan telefonnya kepada rakan serumah Allahyarham, kami percaya dengan laporan tersebut.
“Kami ambil keputusan untuk pulang ke Shah Alam pada malam itu juga (Selasa) dan tiba di rumah kira-kira pukul 4 pagi (Rabu lalu),” katanya sambil mengesatkan air matanya.
Ditanya mengenai baju yang Allahyarham cuba ambil dari balkoni rumahnya itu, Fazlina memaklumkan bahawa dia tidak pernah melihat anak sulungnya itu memakai baju tersebut.
Fazlina menganggap, baju itu mungkin baru dibeli arwah, beberapa hari sebelum kejadian itu.
“Kebelakangan ini, Allahyarham gemar beli barang di kedai bundle (barangan terpakai) dan mungkin baju itu pun dia beli dari kedai bundle.
“Saya dimaklumkan rakan serumahnya bahawa mereka sudah melarang Allahyarham daripada memanjat balkoni kerana baju itu tersangkut pada balkoni.
“Tapi, dia mahu juga ambil baju itu. Tapi tak apalah. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” ujarnya.
Menceritakan mengenai sifat peribadi Allahyarham, Adly Zarkasyi merupakan seorang periang dan sering menceriakan keluarganya.
Utusan Malaysia pada Selasa lalu melaporkan Allahyarham Adly Zarkasyi jatuh daripada tingkat 34 kondominium yang diinapinya setelah cuba mengambil bajunya yang tersangkut di bahagian balkoni.
Jenazah Allahyarham sudah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada petang Rabu.-UTUSAN