DARO: Sembilan penghuni berdepan detik cemas pada awal pagi tadi apabila rumah yang mereka duduki terbakar di Kampung Nanga Besar, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5:20 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman kebakaran.
“Setibanya anggota di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur tidak kekal yang berukuran anggaran 46′ x 80′ x 18′ sedang terbakar 70 peratus,” katanya.
Tambahnya, kawalan api berjaya dilakukan oleh anggota di lapangan dengan menggunakan pam angkut sumber air terbuka dari parit besar yang jaraknya lebih kurang 30 kaki dari lokasi kejadian.
“Anggota bertindak membuat tindakan ‘fire break’ bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke rumah bersebelahan dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk tindakan awalan.
“Selain itu, tindakan pengawalan serta pemadaman menggunakan pam angkut sumber air terbuka dari parit besar yang jaraknya lebih kurang 30 kaki dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7:19 pagi tadi, dan punca kebakaran kini masih dalam siasatan. – UTUSAN










