KANGAR: Para pesawah mempersoal bila kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang dikatakan menguasai 80 peratus pasaran beras negara sehingga menyaksikan masalah ketiadaan bekalan beras tempatan sebelum ini.
Tindakan setegas-tegasnya perlu dilakukan terhadap kartel beras dan padi ini sama seperti tindakan yang dikenakan terhadap syarikat yang didakwa membentuk kartel bagi memanipulasi harga ayam dan telur di negara ini baru-baru ini, sekali gus bakal memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, ketiadaan beras tempatan berpunca daripada kartel atau kilang-kilang besar ini termasuk didakwa mencampur beras tempatan dan beras import bagi mengaut lebih keuntungan.
Malah katanya, kartel-kartel tersebut juga selalu bermain harga belian padi dengan sebelum ini mereka membeli padi dengan harga RM1,700 bagi satu tan metrik hasil namun dalam masa beberapa minggu sahaja selepas itu turun kepada RM1,300 sekali gus memberi kesan kepada para pesawah.
Ujarnya, isu ketiadaan beras tempatan di pasaran sebelum ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan pengeluaran beras tempatan adalah lebih 60 peratus.
“Tindakan tegas terhadap kartel-kartel beras ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi kerana mereka sudah selesa menguasai pasaran beras di negara ini.
“Tidak boleh ada lagi kompromi terhadap kartel beras ini sama seperti kartel-kartel ayam yang telah dikenakan tindakan,” katanya yang mengusahakan tanaman padi sejak lebih 40 tahun lalu.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, lima syarikat yang membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk tujuan menetapkan harga, sekali gus membawa kesan kepada harga ayam di pasaran dikenakan denda sebanyak RM415.5 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Syarikat-syarikat tersebut adalah Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd. (Leong Hup), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd. (Gold Coin), Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. (PK Agro).
Denda terbesar dikenakan terhadap Leong Hup iaitu sebanyak RM157 juta, diikuti Gold Coin (RM97.5 juta), Dindings (RM70 juta), PK Agro (RM47.8 juta) dan FFM (RM42.6 juta).
Sebelum ini, Pengerusi Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman juga pernah mendedahkan, pengilang mula menurunkan harga padi disebabkan permainan harga oleh kartel-kartel yang menguasai 80 peratus pasaran beras negara.
Dakwa Marzukhi, syarikat-syarikat berkenaan bukan sahaja mempunyai kilang-kilang beras tetapi merangkumi syarikat pemborong dan pembungkusan beras sendiri yang bermain harga di sebalik kenaikan harga beras import.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban pula berkata, ketiadaan bekalan beras tempatan didakwa berpunca daripada permainan kartel-kartel ini.
Katanya, ia bukan perkara baharu dengan kerajaan perlu segera mengenakan tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab ini demi kepentingan pesawah di negara ini.
“Masalah ketiadaan beras tempatan Insya-Allah boleh selesai jika kartel-kartel ini dikenakan tindakan tegas sekali gus memberi peringatan kepada mereka. Jika tidak masalah sama akan terus berulang.
“Dalam masa sama, bagi mengatasi masalah ini dalam jangka masa panjang, kerajaan juga perlu mewujudkan agensi bagi menguruskan perkara berkaitan padi ini,” katanya. – UTUSAN










