Selama wajar diisytihar daerah baharu di Perak - Utusan Malaysia

Selama wajar diisytihar daerah baharu di Perak

MOHD. Akmal Kamarudin (tengah) dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bagi memastikan limpahan ekonomi dengan lebih baik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin mengharapkan Selama diisytiharkan sebagai daerah penuh.

Ketika ini, Selama digabung dan membentuk daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) yang terletak di utara barat Perak bersebelahan daerah Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian serta Manjung di Selatan.

Mohd. Akmal berkata, peruntukan pembangunan daripada kerajaan negeri sebelum ini dikongsi di bawah Daerah Larut Matang dan Selama yang banyak memberi tumpuan kepada Taiping.

Tambahnya, sudah tiba masa daerah kecil Selama mesti dinaiktaraf memandangkan terdapat kemudahan awam sedia ada seperti Hospital Selama dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama.

Beliau malah membandingkan situasi apabila Bagan Datuk dinaikkan sebagai daerah penuh, banyak pembangunan baharu dilaksanakan sedangkan Selama yang sudah ada pelbagai prasarana dan infrastruktur asas tidak diberi perhatian.

“Dalam sidang Dewan Negeri yang lalu, Selama membangkitkan isu yang sama, namun jawapan yang diterima adalah kerana kekangan kewangan.

“Kalau kita tengok di Bagan Datuk, pernah diisytiharkan daerah penuh, pada masa itu tiada apa lagi fasiliti kerajaan. Kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang cukup banyak untuk membina bangunan seperti IPD dan bangunan pentadbiran yang lain-lain,” katanya semasa sesi Perbahasan Belanjawan 2024 Perak di sini hari ini.

Katanya, Selama yang berada dalam kawasan Parlimen Larut telah diwartakan sebagai daerah penuh sejak tahun 1900, namun belum dilaksanakan.

Beliau mengharapkan Selama boleh diiktiraf sebagai daerah penuh dalam belanjawan akan datang terutama banyak hasil negeri diraih di Selama selain kawasan itu memiliki jumlah rakyat miskin tegar yang ramai.

“Hari ini orang bercakap tentang pembangunan Bagan Datuk. Kita hendak juga di Selama yang selayaknya lebih awal diisytiharkan untuk berdiri sama tinggi dengan daerah lain.

“Sepertimana hasrat banyak pihak untuk menoktahkan kemiskinan yang mana miskin yang cukup ramai adalah di daerah Selama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN