‘Saya rasa Zayn masih ada, tidak sangka berakhir macam ini’

‘Saya rasa Zayn masih ada, tidak sangka berakhir macam ini’

ISMANIRA Abdul Manaf menahan sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: “Sampai sekarang pun saya rasa Zayn (Zayn Rayyan Abdul Matiin) masih ada, saya tidak sangka berakhir macam ini.” 

Demikian luahan ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, 6, yang ditemukan meninggal dunia pada 10 malam tadi selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang ketika bermain di Apartment Indah, Damansara Damai di sini. 

Menurut Ismanira Abdul Manaf, 28, dia sehingga kini sukar menerima kenyataan bahawa anaknya sudah meninggal dunia. 

“Hendak kata saya reda… memang Zayn sudah tiada. Saya susah hendak terima benda ini, tidak boleh tidur malam tadi. 

“Sampai sekarang pun saya rasa Zayn masih ada, saya tidak sangka berakhir macam ini. Itulah… saya tidak boleh komen, emosi tidak stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismanira juga berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut. 

“Buat masa ini saya serahkan pihak polis untuk buat langkah seterusnya, jalankan siasatan. Saya minta pihak polis menyiasat lebih lanjut lagi,” katanya. 

Ismanirah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), media dan seluruh penduduk Apartment  Indah, Damansara Damai di sini yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Zayn Rayyan. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia mendoakan Zayn.

“Terima kasih semua, pihak bomba, polis, media yang menolong saya, terima kasih banyak-banyak,” katanya. 

Sementara itu, bapanya, Zaim Ikhwan Zahari, 28, berkata, jenazah Zayn Rayyan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

“Proses bedah siasat sedang berlangsung selama empat jam. Zayn akan dibawa untuk solat jenazah di masjid di Damansara Damai sebelum dikebumikan,” katanya.

Semalam, Zayn Rayyan ditemukan di sebuah sungai, dianggarkan kira-kira 200 meter daripada lokasi yang dilaporkan hilang sekitar pukul 10 malam tadi.

Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada Selasa lalu kira-kira pukul 12.30 tengah ketika mengekori ibunya selepas bermain di taman permainan berhampiran Apartment Indah, Damansara Damai di sini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya