PETALING JAYA: Penyanyi, Zarul Umbrella tidak pernah berehat daripada dunia nyanyian walaupun kini semakin rancak dengan dunia kandungan digital dan lakonannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zarul berkata, dia seronok bergelar content creator namun cabang baharu tersebut tidak pernah menggantikan kerja hakikinya sebagai seorang penyanyi.
“Memang ada yang tanya, saya masih menyanyi ke? Mungkin sebab di media sosial, saya dilihat rancak dengan kandungan digital dan podcast. Ya, saya tetap dan masih menyanyi.
“Tawaran persembahan juga banyak tetapi buat masa ini, masa memang lebih ke arah rakaman kandungan digital dan podcast. Cuma saya akan rakam untuk beberapa episod sekali gus.
“Tahun depan juga kandungan digital dan podcast saya juga akan lebih gempak dengan peralatan baharu. Lebih rancak dengan kehadiran tetamu jemputan yang penuh cerita,” kongsinya.
Tambah pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-3 ini juga, dia seronok dengan kerjayanya sebagai pelakon dan bakal muncul dengan filem baharu tidak lama lagi.
“Selepas GV, peluang lakonan itu sentiasa ada. Sebelum ini tak pernah cuba tetapi bila berlakon, rasa seronok pula. Insya-Allah, tahun depan ada drama dan filem baharu.
“Lagu baharu pula, dalam perancangan. Saya ada mengumpul dan mendengar beberapa demo baharu, kalau tidak ada masalah tahun depan saya akan lancarkan,” katanya.