Sarawak tambah fasiliti hospital medan, tempah 800 bekalan

Sarawak tambah fasiliti hospital medan, tempah 800 bekalan Paxlovid

DOUGLAS Uggah Embas (tengah) menunjukkan ubat antiviral Paxlovid yang ditempah kerajaan Sarawak sebagai persediaan untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19, dalam sidang media dipejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak kini bersedia untuk berdepan kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri kini akan membina hospital medan di Kuching yang boleh menampung 88 buah katil pesakit. 

“Dalam persediaan peningkatan kes Covid-19, Premier Sarawak (Tan Sri abang Johari Tun Openg) meluluskan dana berjumlah RM4.85 juta bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam menangani peningkatan kes Covid-19 di negeri ini. 

“Malah, hospital medan ini telah pun siap dibina di Sibu dan kini dalam pembinaan di bahagian Miri pula,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya berhubung status kes Covid-19 di Sarawak di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Douglas turut memberitahu kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi tempahan ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan untuk menghadapi peningkatan kes berkenaan. 

“Bekalan ini akan digunakan sebagai persediaan untuk rawatan jika wabak itu serius semula dan akan diberikan keutamaan kepada golongan seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.

“Hal ini juga mengambil kira musim perayaan yang akan disambut seperti Hari Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya pada tahun depan kerana kos itu akan mencukupkan kita membeli tempahan sebanyak 800 pek sahaja,” jelasnya lagi. 

Sehubungan itu, beliau menggesa agar mana-mana individu yang bergejala melakukan saringan Covid-19 dan sekiranya didapati positif, diminta terus mengasingkan diri serta tidak bergaul dengan ahli keluarga mahupun keluar rumah. 

Dalam perkembangan sama, Douglas memberi jaminan kerajaan Sarawak akan terus membantu dari segi keperluan yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam berdepan kes Covid-19 di negeri ini. 

“Kita akan terus membantu KKM demi kesejahteraan penduduk Sarawak, kerana kita tidak tahu dan tidak mahu satu masa nanti ubat antiviral Paxlovid kita tidak mencukupi bagi menampung keperluan negeri ini. 

“Jadi kita mahu KKM sentiasa berkomunikasi bersama kita kerana Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sedia membantu KKM demi kesejahteraan dan kebajikan penduduk Sarawak,” tegasnya. 

Untuk rekod, kes Covid di Sarawak meningkat sejak Minggu Epid 36 (dari 3 September hingga 9 September 2023). 

Dalam Epid Minggu 50 (dari 10 Disember hingga 16 Disember 2023), jumlah kes Covid-19 ialah 631, meningkat 103.5% berbanding minggu sebelumnya dengan 310 kes. 

Bagaimanapun, tiada kematian baharu dengan Covid-19 dilaporkan dalam Minggu Epid 50; 

Terdapat trend peningkatan dalam jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital sejak awal November 2023. 

Pada Minggu Epid 50, terdapat 45 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kategori tiga, empat dan lima berbanding minggu sebelumnya sebanyak 25 kes. 

Bagaimanapun, pengurusan pesakit masih dalam kapasiti boleh dikendalikan buat masa ini dan hospital sedang memperkukuh kesiapsiagaan mereka untuk menangani kes Covid-19 yang teruk, memandangkan peningkatan kes Covid-19 dan kemasukan yang dilaporkan dalam beberapa minggu lalu.

Oleh itu, jumlah kematian dengan Covid-19 kekal sembilan kes pada tahun ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN