KUCHING: Sarawak terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan yang mahu memulakan destinasi penerbangannya melibatkan perjalanan dari dalam mahupun luar negara asalkan melibatkan destinasi ke negeri ini.
Justeru, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya akan terus komited memberi Kerjasama agar usaha itu dapat dicapai.
“Sekiranya ada destinasi baharu boleh mengaitkan Sarawak, yang penghujung mahupun permulaannya dari Sarawak, kita mengalu-alukan rancangan itu.
“Malah, saya percaya Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan juga kementerian kita sentiasa memantau serta komited untuk membantu apa-apa sahaja yang dirancangkan oleh syarikat-syarikat penerbangan ini agar dapat dijayakan,” tegasnya dalam sidang media di sini hari ini selepas hadir merasmikan Hari Integriti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Abdul Karim berkata demikian ketika ditanya sekiranya industri pelancongan Sarawak bersedia untuk menerima pelancong dari destinasi penerbangan negara rantau Asia termasuk Australia, Hong Kong, Korea, Jepun dan Thailand selepas pengambilan MASwings.
Malah, baru-baru ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Sarawak tidak mahu hanya bergantung kepada penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), sebaliknya turut menyasarkan menjadi antara hab destinasi bagi laluan rantau Asia.
Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, industri pelancongan memerlukan kerjasama yang besar antara pemainnya dalam menjayakan agenda berkenaan.
“Sebab itu industri pelancongan ini memerlukan kerjasama yang besar di antara pemain industri dan juga syarikat-syarikat penerbangan yang ada di luar sana termasuk dengan syarikat penerbangan kita sendiri.
“Insya-Allah tahun depan akan bermula, saya mempunyai harapan besar untuk Sarawak mempunyai laluan penerbangan yang baharu. Kalau banyak destinasi dan syarikat datang ke negeri ini, saya percaya jumlah kedatangan pelancong juga akan terus meningkat,” tambahnya.
Selain itu, Abdul Karim juga tidak menafikan industri pelancongan kesihatan turut memberi impak yang besar kepada jumlah pelancong ke Sarawak.
Justeru, subsidi bagi pelancongan kesihatan sedang dipertimbangkan dalam usaha merancakkan industri berkenaan.
“Sebelum Covid-19 iaitu tahun 2019, jumlah pelancong yang datang untuk mendapatkan rawatan kesihatan ialah 47,000 orang. Daripada jumlah itu, 41,000 ialah warganegara Indonesia.
“Malah, jumlah hospital swasta yang ada di negeri ini iaitu lima hospital yang dibina mencerminkan bahawa permintaan terhadap rawatan daripada pelancong kesihatan turut meningkat. Ini petanda yang baik,” katanya. -UTUSAN