Rogol anak arwah rakan, lelaki dipenjara 12 tahun, disebat 8 kali

Rogol anak arwah rakan, lelaki dipenjara 12 tahun, disebat 8 kali

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang lelaki diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan atas tiga kesalahan seksual termasuk merogol anak perempuan arwah rakannya yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Faizal Anuar Mat Isa, 40, selepas membenarkan rayuan akhirnya agar hukuman penjara bagi ketiga-tiga kesalahan berkuat kuasa serentak.

Menurut keterangan kes, remaja itu sedang didatangi haid ketika dirogol di rumah datuknya di Sungai Siput, Perak kira-kira pukul 2 pagi, 3 Januari 2020. Faizal Anuar merupakan rakan arwah bapanya yang dikenali sejak bersekolah tadika.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail mengekalkan sabitan dan hukuman sebatan sebanyak lapan kali terhadap Faizal Anuar. Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin bagaimanapun mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar yang memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan.

Hakim Azmi dalam penghakiman bertulisnya yang diperoleh media hari ini menyatakan, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sepatutnya memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

“Ketiga-tiga pertuduhan melibatkan hanya seorang mangsa manakala masa dan tempat kejadian juga sama. Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memerintahkan hukuman berkuat kuasa secara berasingan.

“Ini kerana hakim bicara tidak menimbangkan prinsip `satu transaksi’ dan kesilapan itu mewajarkan panel ini campur tangan,” ujar Hakim Azmi dalam penghakiman bertarikh 8 Disember lalu.

Faizal Anuar diwakili peguam Ilyani Khuszairy manakala Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha mewakili pihak responden. Bagi tuduhan pertama, perayu disabitkan mengugut untuk mencederakan mangsa sebelum merogolnya dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Tuduhan kedua dan ketiga masing-masing mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Fakta kes pendakwaan menunjukkan, ketika kejadian mangsa tidur bersama-sama adik lelaki di ruang tamu rumah datuk mereka di Sungai Siput sebelum terjaga kerana terdengar bunyi yang disangkakan kucing.

Dia kemudian melihat seorang lelaki memakai penutup muka sedang merangkak ke arahnya sambil memegang sebilah pisau sebelum mengacukannya dan mengarahkan mangsa memasuki sebuah bilik.

“Kamu dengar cakap aku, kalau kamu tak dengar, aku tikam kamu,” demikian ugut perayu menyebabkan mangsa ketakutan dan bimbang nyawa mereka dua beradik terancam.

Fakta kes pendakwaan juga menyatakan, remaja itu mengcam suara Faizal Anuar dan tekaannya tepat bahawa perayu adalah rakan arwah bapanya selepas lelaki itu mendedahkan wajah. Mangsa mengenali perayu sejak bersekolah tadika.

Perayu kemudian memberitahu mangsa dia akan datang semula dan meminta remaja itu merahsiakan kejadian tersebut sebelum keluar melalui tingkap bilik berkenaan. Sejurus selepas itu, mangsa mengejutkan adik lelakinya sambil menangis dan menceritakan dia dirogol selain turut menghubungi ibu angkatnya. Mangsa kemudian ditemani bapa saudaranya membuat laporan polis pada hari yang sama.

Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar kemudian mendapati Faizul Anuar bersalah atas dan memerintahnya menjalani hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol.

Dia turut dipenjarakan selama empat tahun dan dua sebatan bagi setiap kesalahan amang seksual fizikal. Hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 6 Januari 2020.

Pada 19 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Taiping menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan manakala hukuman penjara dan sebatan berkuat kuasa secara berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya