PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Disember ini bagi mengetahui perkembangan terkini rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedang menyediakan alasan penghakiman dan menyiapkan rekod rayuan kes berkenaan dalam kadar segera.
Ujarnya, sehubungan itu mahkamah menetapkan tarikh berkenaan untuk pengurusan kes agar pihak-pihak memaklumkan status terkini rayuan itu.
“Mahkamah Tinggi memaklumkan alasan penghakiman dan rekod rayuan masih belum siap, tarikh lain ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya, ” kata Mohamad Fadhly.
Beliau memberitahu demikian kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini yang turut dihadiri oleh peguam K. Sagana yang mewakili pasangan berkenaan.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 15 September lalu selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Bung Moktar dan isteri pada 7 September lalu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Beliau berpuas hati, tiada bukti menunjukkan dua saksi pendakwaan iaitu ejen Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid, memberi wang rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui Zizie Izette.
Sehubungan itu, Hakim Azhar berpendapat, beliau wajar melaksanakan kuasa semakan di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dalam permohonan itu.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak tanpa mendengar meritnya.
Pasangan itu kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 7 Julai lalu dan berjaya mendapatkan perintah agar permohonan semakan itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit Public Mutual amanah.
Beliau didakwa menerima suapan daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette pada tempat yang sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN