KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya yang dianjurkan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani menawarkan lebih 45,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung yang hadir.
Kemudahan yang disediakan di sini adalah 36 reruai dengan lebih 102 kaunter perkhidmatan daripada pelbagai kementerian dan agensi untuk membantu memudahkan urusan orang ramai khususnya kepada pencari kerja.
Pengunjung, Nurul Ashyiqin Asrin, 28, berkata, Karnival Kerjaya Madani adalah bukti inisiatif kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Katanya, program ini turut memberi peluang kepada orang ramai khususnya pencari kerja membangunkan rangkaian profesional dan mendapatkan pengetahuan industri.
“Peluang yang diberikan ini membuatkan saya teruja untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pekerjaan yang sesuai dengan bidang dan kelayakan saya.
“Kaunter perkhidmatan yang disediakan juga memudahkan urusan saya dalam mencari maklumat, mendapatkan nasihat dan memahami proses permohonan pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Karnival Kerjaya melibatkan 63 majikan dan syarikat swasta dengan sokongan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara syarikat-syarikat swasta terlibat adalah Honda Malaysia Sdn. Bhd, Malaysia Aviation Group, Petronas, Sports Direct, CIMB, SME Bank, SME Aerospace Sdn Bhd, Senheng, Lazada Logistics dan Imperial Lexis Kuala Lumpur.
Sementara itu, seorang graduan universiti awam, Nurul Alisa Ali Akbar, 25, pula berkata, kewujudan karnival ini secara langsung membuka peluang kepada graduan untuk berhubung dengan pelbagai syarikat dan agensi kerajaan.
Menurut Alisa, kelayakan dan latar belakang pendidikan yang diperoleh memberikan keyakinan kepada para graduan untuk mencari pekerjaan yang sejajar dengan bidang pengajian masing-masing. – UTUSAN