PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan terhadap dakwaan kes gangguan seksual melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Ini susulan laporan polis dibuat penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abd. Kader di Ibu pejabat Daerah (IPD) Kajang semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan gangguan seksual dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak.
Susulan itu, katanya, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.
“Abdul Wahab mendakwa tampil membuat laporan bagi melindungi diri selain menafikan terlibat di dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap suspek (Mohammad Agus).
“Siasatan masih diteruskan dan kita akan panggil beberapa individu lagi bagi diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Abdul Wahab hadir ke IPD Kajang bagi membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Abdul Wahab, 33, mengakui beliau tertekan dengan apa yang berlaku membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.
“Saya tertekan. Saya trauma. Apalah nak cakap. Itu sahaja.
“Saya buat semua ini (laporan polis) kerana hendak membersihkan nama dan menuntut keadilan,” katanya.
Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata, kertas siasatan berkaitan dakwaan video fitnah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, pihak polis setakat ini telah merakam percakapan seramai lapan individu bagi membantu siasatan kes tersebut. -UTUSAN