IPOH: Polis menafikan wujud layanan ‘double standard’ berhubung kawalan ketat terhadap pegawai kanan polis yang didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan tersebut merupakan prosedur biasa bagi membawa orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.
“Kita membuat kawalan di mahkamah adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman. Tiada istilah ‘double standard’ kerana layanan yang diberikan sama seperti pesalah lain.
“Ini merupakan kawalan biasa untuk OKT bermula diiringi anggota daripada lokap balai untuk dibawa ke mahkamah seterusnya dihadapkan ke hadapan hakim.
“Bagaimanapun, dalam kes ini OKT adalah pesalah biasa, kita tidak anggap berprofil tinggi pun cuma kes yang dihadapi menarik perhatian, jadi bila menarik perhatian kita perlu adakan kawalan yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Johari Kassim yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie di Taman Chepor Sentosa, Chemor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng.
Mengulas lanjut Azizi berkata, proses siasatan terhadap pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dilakukan secara telus sejajar dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan akan datang,” ujar beliau.
Terdahulu, media melaporkan, tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, yang didakwa membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, dibawa ke Kompleks Mahkamah Ipoh di sini hari ini, dalam keadaan dikawal ketat.
Kehadiran Mohd. Nazri bagi menghadiri prosiding kes berkenaan diiringi lima anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.
Pada prosiding berkenaan, Mohd. Nazri yang memakai baju T berwarna putih dan berseluar hitam dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dalam keadaan bergari dan kepala ditutup menggunakan kain hitam.
Selepas selesai prosiding, tertuduh kemudian dibawa keluar dengan pantas dan dikawal ketat menaiki kenderaan bercermin gelap dengan diiringi empat kenderaan lain. – UTUSAN