PM ucap takziah pada keluarga Jui Meng

PM ucap takziah pada keluarga Jui Meng

MENDIANG CHUA JUI MENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang baru meninggal, semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mendiang merupakan sosok yang banyak menabur bakti kepada negara khususnya selaku Menteri Kesihatan paling lama iaitu selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.

“Beliau kemudiannya turut memainkan peranan penting sepanjang bersama PKR tatkala mengemudi pimpinan parti di Johor.

“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat serta rakan-rakan yang sama turut sama berjuang untuk negara tercinta. Saya doakan urusan keluarganya dipermudah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan, Jui Meng meninggal dunia pada usia 80 tahun dan ia disahkan oleh pasukan media sosial Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah berkhidmat bersama mendiang dalam kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, Jui Meng berasal daripada Muar dan mula aktif dalam politik bersama MCA pada 1976.

Mendiang pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, meraih kemenangan di Parlimen Bakri dan kerusi itu dimenanginya selama lima penggal berturut-turut sehingga 2004.

Selepas PRU 1995, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentuk Kabinet baharu dengan melantik mendiang sebagai Menteri Kesihatan dan beliau kekal berkhidmat dalam jawatan tersebut selepas PRU 1999.

Namun, mendiang tidak bertanding pada PRU 2008 sebelum menyertai PKR pada 2009 dan ia memberi peluang kepadanya untuk bertanding di Parlimen Segamat pada PRU13 tetapi tewas kepada calon MIC, Tan Sri Dr. S. Subramaniam ketika itu.

Bagaimanapun, mendiang kekal bersama PKR sehingga ke akhir hayatnya dan pemergiannya turut dirasai oleh Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran yang pernah berkhidmat bersamanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN