Plestia Alaqad tidak gentar jadi mata dan suara Gaza

Plestia Alaqad tidak gentar jadi mata dan suara Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA perang mula meletus di Gaza pada 7 Oktober lalu, nama Plestia Alaqad meraih perhatian ramai apabila dia berani meredah kawasan konflik demi membuat liputan mengenai kekejaman Zionis.

Plestia juga banyak berkongsi video-video menyayat hati mengenai keadaan di Gaza beserta penduduknya dan kesemuanya menjadi tular.

Biarpun berdepan bahaya, termasuk menjadi sasaran penembak tepat tentera Israel, wanita berusia 22 tahun itu sedikit pun tidak gentar merakamkan detik cemas di kawasan kejiranan di Gaza.

“Saya cuba memberi gambaran jelas tentang apa yang berlaku sebenarnya di Gaza dan saya rasa anda juga boleh dengar keadaan di sini,” katanya dalam satu daripada video yang dirakamnya.

KEKAL TENANG

Kebanyakan pengikut Plestia dalam media sosial sering tertanya-tanya bagaimana gadis genit itu boleh kekal tenang dan tiada sedikit pun ekspresi takut pada wajahnya ketika berdepan situasi getir di Gaza.

“Takut atau tidak, trauma atau tidak, saya perlu hadap semua ini dan semua penduduk Gaza merasainya.

“Kami kena kuatkan semangat untuk diri sendiri dan juga orang-orang tersayang.

“Niat saya cuma satu, iaitu mahu tunjuk kepada dunia apa keadaan sebenar di Gaza, kami tidak mereka cerita, kami tidak menipu, rasanya anda boleh nilai sendiri,” ujarnya.

Selain itu, usaha Plestia menggunakan Instagram sebagai platform untuk berkongsi tentang keadaan terkini di Gaza turut dipuji banyak pihak.
Sebelum konflik bermula, Plestia bekerja untuk sebuah agensi pemasaran dan rajin memuat naik aktivitinya dalam media sosial.

TIDAK SEMUANYA SEDIH DI GAZA

Matlamat utama Plestia adalah untuk menceritakan kepada pengikutnya bahawa masih ada perkara gembira di Gaza, selain kekejaman dan kemusnahan yang dilakukan oleh Zionis.

Katanya, laporan media Barat yang bersikap berat sebelah amat tidak adil dan tidak menggambarkan keadaan sebenar di Gaza.

“Instagram secara tidak langsung menjadi diari peribadi untuk saya berhubung dengan ramai orang. Saya mahu tunjukkan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri saya, penduduk Gaza.

“Saya bukan hanya menjadi wartawan yang melaporkan situasi perang, saya juga mewakili penduduk Gaza untuk memberitahu dunia apa yang kami lalui selama ini,” katanya.

SUKAR CAS TELEFON

Menurut wanita itu, dia berdepan kesukaran untuk mengecas telefon bimbit yang merupakan satu-satunya gajet yang digunakannya untuk merakam pelbagai insiden di Gaza.

Plestia juga menyatakan dia tidak mahu orang ramai hanya melihat perang di Gaza sekadar sebagai bahan berita.

Wanita itu menceritakan, dia pernah berputus asa untuk menjadi wartawan selepas ketua kumpulan media Press House-Palestine, Belal Jadallah terkorban dalam serangan udara Israel.

Plestia nekad memulangkan semua ves dan topi keledar tertera ‘Press’ yang dimilikinya kerana bimbang akan menerima nasib sama seperti Jadallah.

PERGI MELBOURNE

Selepas 45 hari menggadai nyawa untuk membuat liputan mengenai perang di Gaza, Plestia akhirnya meninggalkan Gaza dan menuju ke Melbourne di Australia.
Namun, dia masih mengikuti perkembangan konflik yang berlaku di Gaza.

SIAPA PLESTIA?

Plestia dilahirkan pada 2001 dan mendapat pendidikan di American International School of Gaza.

Bermula 2015 hingga 2019, gadis itu mendedikasikan dirinya untuk menyambung pengajian sebagai membuka jalan bagi masa depan lebih cerah.

Dia kemudiannya menjadi penuntut di Universiti Eastern Mediterranean (2019-22) kerana minat yang mendalam untuk meneroka dunia komunikasi dan media.

Selepas tamat pengajian, Plestia mula berkongsi ‘kisah’ tentang Gaza dan menarik minat rangkaian berita utama seperti The Washington Post dan Reuters.

Dia terus menjadi ‘suara’ penduduk Gaza yang terpinggir dan berkhidmat sebagai Pengurus Sumber Manusia untuk StepUp Agency sejak Mei lalu.

Pada April hingga Ogos, Plestia pernah menyumbangkan kemahirannya sebagai Jurulatih Kelab Media Inggeris untuk The Press House dengan mengendalikan bengkel berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya